Hilton Burau Bay lonjak segmen hospitaliti premium Langkawi

Business & Finance
12 Sep 2026 • 7:27 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hilton Burau Bay lonjak segmen hospitaliti premium Langkawi

LANGKAWI: Tradewinds Corporation Berhad (Tradewinds) melancarkan Hilton Burau Bay Langkawi Resort, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap potensi Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) antarabangsa.

Resort di bawah jenama Hilton Hotels & Resorts itu menjalani pra-pembukaan pada Jun 2026 dan dilihat sebagai langkah penting Tradewinds dan Hilton dalam memperkukuh segmen hospitaliti premium di Langkawi, seiring kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pelancaran hotel 251 bilik itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Utama Orkid, Hilton Burau Bay Langkawi Resort.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tradewinds, Izmir Abdul Karim berkata, pembukaan resort itu mencerminkan keyakinan berterusan syarikat terhadap Langkawi serta komitmen jangka panjangnya dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan di pulau berkenaan.

“Hilton Burau Bay Langkawi Resort merupakan penambahan terbaharu kepada portfolio hospitaliti Tradewinds yang telah lama bertapak di Langkawi, menyertai empat resort sedia ada kami di pulau ini.

“Resort ini menepati seruan Tuanku, dibina untuk mencerminkan keperibadian pulau ini dan bukan meniru destinasi lain,” katanya pada Majlis Pelancaran Hilton Burau Bay Langkawi Resort di sini, semalam.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Berangkat sama Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut hadir pada majlis berkenaan.

Izmir Abdul berkata, komitmen Tradewinds bukan hanya tertumpu kepada pembangunan hotel, sebaliknya turut meliputi usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, menyokong perniagaan tempatan serta ekosistem pelancongan yang lebih luas.

“Melalui pelaburan kami, kami berhasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna bagi masyarakat setempat, menyokong perniagaan tempatan serta ekosistem pelancongan yang lebih luas.

“Ia juga sekali gus untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Langkawi dan Kedah, sambil menghormati warisan Geopark Global UNESCO pulau ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kawasan dan Ketua Asia Tenggara Hilton, Alexandra Murray berkata, pembukaan resort berkenaan mencerminkan komitmen Hilton untuk memperluas pengalaman jenama hotelnya ke destinasi peranginan utama Malaysia.

“Dengan resort ini, kami menawarkan penanda aras baharu yang canggih bagi hospitaliti perkhidmatan penuh di Langkawi,” katanya. – UTUSAN

The post Hilton Burau Bay lonjak segmen hospitaliti premium Langkawi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved