
KUALA LUMPUR - Dua kenderaan dipandu secara melulu sebelum merempuh dua individu dalam kejadian berdekatan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan.
"Siasatan dijalankan mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios merempuh sekumpulan individu di lokasi berkenaan.
"Kejadian mengakibatkan dua individu mengalami kecederaan dan salah seorang mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan punca kejadian.
"Setakat ini individu yang terlibat masih belum membuat laporan polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau mana-mana balai polis berdekatan.
Tular video pada Selasa memaparkan dua kenderaan bertindak merempuh sekumpulan individu berdekatan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini.


