Himpunan 10K untuk Palestin medan suarakan solidariti bersama Palestin

LocalPolitics
21 Jun 2025 • 11:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ribuan peserta pada Himpunan 10K Malam Untukmu Palestin yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Foto media sosial

KOTA BHARU - Walaupun hujan, ribuan peserta tidak berganjak pada Himpunan 10K Malam Untukmu Palestin yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhammad berkata perhimpunan itu menjadi pentas untuk rakyat menyuarakan solidariti terbuka dan tegas bersama penduduk Palestin serta mendukung pembebasan warganya daripada kezaliman rejim Zionis.

"Himpunan ini juga dapat memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia bahawa isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang wajib dipikul semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan warna politik,” katanya kepada Bernama pada perhimpunan itu malam ini yang turut diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid In-Team.

Beliau berkata, acara itu turut diadakan bersempena Persidangan Belia Islam Antarabangsa yang berlangsung hari ini, melibatkan lebih 150 peserta dari pelbagai negara termasuk Palestin, Turkiye, Pakistan, Mesir, United Kingdom, India, Indonesia, Sri Lanka, Kemboja, Filipina dan Afrika Selatan selain penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Persidangan ini akan menjadi ruang wacana dan advokasi strategik belia Islam dalam isu Palestin dari sudut politik global, hak asasi manusia serta cabaran propaganda dalam era maklumat,” katanya. - Bernama