Himpunan Aman: Kerajaan Tak Pernah Larang, Tapi Perlu Patuhi Peraturan - PM

LocalPolitics
11 Sep 2025 • 4:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ketegangan tercetus ketika operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru dijalankan hari ini - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak yang mahu berhimpun secara aman bagi menyatakan pendirian masing-masing. 

Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dibuktikan secara konsisten menerusi penganjuran pelbagai himpunan sebelum ini.

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Bagaimanapun tegas beliau, kebebasan yang diberi perlu seiring dengan tanggungjawab serta kesediaan mematuhi peraturan, adab dan undang-undang.

“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.

“Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, kebenaran untuk berhimpun secara aman tidak harus disalahguna demi kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat. 

“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” katanya.

Dalam insiden hari ini, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali.

image is not available
Kepala Sulizmie Affendy Sulaiman cedera, dipercayai kerana dilempar dengan batu - Gambar Facebook

Kejadian tersebut berlaku ketika beliau terbabit mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Operasi atas arahan mahkamah itu dibuat susulan proses perobohan struktur rumah di kawasan terbabit.

Getaran difahamkan, penduduk yang berhimpun telah diarah untuk bersurai, namun segelintir daripada mereka masih berdegil dan terus menerus melakukan provokasi. - Getaran, 11 September 2025