SHAH ALAM - Tindakan tegas dan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa susulan perbuatan seorang individu yang didakwa menghina simbol agama Hindu.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, mengutuk keras tindakan yang melampau itu, sama seperti kecamannya terhadap perbuatan menghina al-Quran bulan lalu.
"Dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama, keharmonian dalam kalangan rakyat penting dijaga.
"Segala perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan. Begitu juga dengan sebarang hinaan serta provokasi agama, tidak kira agama wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
"Isu penggunaan tanah dan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut peraturan tidak sama sekali mewajarkan tindakan seperti ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu media melaporkan, seorang individu menghina simbol agama Hindu iaitu ‘Trisula’ yang telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu.
Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, sekiranya tiada tindakan sewajarnya daripada pihak berkenaan, dibimbangi akan mengundang kejadian yang tidak diingini.
"Jika tidak, keyakinan orang ramai ke atas pihak berkuasa akan terhakis dan ada pihak yang mengambil tindakan sendiri.
"Kita tidak mahu negara ini terjerumus dalam kancah huru-hara dan kacau-bilau disebabkan pihak tertentu," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan, terutamanya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Perpaduan bersama-sama merangka program, perbanyakkan aktiviti untuk anak muda pelbagai bangsa dan agama.
"Saya juga mengulangi seruan supaya satu perjumpaan diadakan membabitkan wakil agama bagi meredakan ketegangan yang tercetus mutakhir ini.
"Jangan biarkan api kemarahan dan kebencian membakar negara. Ini tanggungjawab kita bersama," katanya.
