Hiroshima peringati 81 tahun serangan bom atom AS, desak dunia tolak senjata nuklear

WorldPolitics
6 Aug 2026 • 10:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hiroshima peringati 81 tahun serangan bom atom AS, desak dunia tolak senjata nuklear

HIROSHIMA: Hiroshima pada Khamis memperingati ulang tahun ke-81 serangan bom atom Amerika Syarikat (AS) ke atas bandar di barat Jepun itu, dengan datuk bandarnya mengkritik kuasa besar yang melancarkan peperangan serta menggesa mereka berhenti mewajarkan pemilikan senjata nuklear sebagai kaedah pencegahan.

Beliau turut menyeru setiap rakyat supaya mengambil pengajaran daripada sejarah lalu dan bertindak.

“Menganggap remeh sifat tidak berperikemanusiaan senjata nuklear dan menerima penggunaan kekerasan demi mengejar kemakmuran sendiri berisiko mencetuskan kitaran tindakan balas ganas yang akhirnya boleh mengakibatkan berlakunya satu lagi Hiroshima atau Nagasaki.

“Terlalu ramai pemimpin politik masih menganggap strategi ancaman balas nuklear sebagai pendekatan yang realistik dan menghalalkan keganasan, yang hanya menjauhkan lagi usaha mewujudkan dunia tanpa senjata nuklear,” kata Datuk Bandar Kazumi Matsui dalam deklarasi keamanan sempena upacara di Taman Memorial Keamanan Hiroshima.

Kira-kira 50,000 orang, bersama wakil dari sekitar 120 negara dan wilayah termasuk AS serta Iran menghadiri upacara itu.

Upacara bertafakur selama seminit diadakan ketika loceng keamanan dibunyikan pada pukul 8.15 pagi (waktu tempatan), detik ketika pesawat pengebom B-29 milik AS menggugurkan bom atom ke atas bandar berkenaan.

Perdana Menteri, Sanae Takaichi yang menghadiri upacara peringatan itu buat kali pertama sebagai pemimpin negara berkata, beliau akan mengambil pendekatan realistik untuk memastikan dunia tidak lagi menggunakan senjata nuklear dalam kerangka perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencegahnya.

Upacara tahun ini berlangsung ketika spekulasi semakin meningkat tentang kerajaan Takaichi mungkin melonggarkan tiga prinsip bukan nuklear Jepun selepas perang apabila negara itu menyusun dokumen keselamatan dan pertahanan baharu lewat tahun ini.

Takaichi menyokong semakan terhadap prinsip berkenaan, termasuk kemungkinan menggugurkan prinsip ketiga iaitu tidak membenarkan senjata nuklear dibawa masuk ke negara itu.

Takaichi berkata, Jepun masih mengekalkan tiga prinsip bukan nuklear selepas perang, namun tidak memberi komitmen jelas untuk terus mematuhi dasar tersebut pada masa hadapan.

Pengeboman Hiroshima pada 6 Ogos 1945 memusnahkan bandar itu dan mengorbankan 140,000 orang.

Bom kedua yang digugurkan ke atas Nagasaki tiga hari kemudian membunuh 70,000 orang.

Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.-AGENSI

The post Hiroshima peringati 81 tahun serangan bom atom AS, desak dunia tolak senjata nuklear appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved