Hishammuddin perlu jelaskan isu pembinaan 1,036 rumah TLDM di Sepanggar – Mohd Azis

15 Nov 2022 • 4:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu memberi penjelasan segera berkaitan penangguhan pembinaan sebanyak 1,036 unit rumah Angkatan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Sepanggar yang tertangguh sejak 2014.

Calon Parti Warisan (Warisan) Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata beliau baharu mendapat makluman berkaitan isu kekurangan kuaters TLDM Sepanggar yang merupakan antara janji tidak ditunaikan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, anggota TLDM di Sepanggar kini terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi untuk mencari kediaman berikutan mereka tinggal terlalu jauh daripada Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar.

“Ada kalangan mereka tinggal di Tuaran, Inanam serta kawasan perumahan Sepanggar. Sekiranya ada berlaku sebarang kecemasan serta memerlukan mereka datang segera ke Pangkalan, perkara ini mungkin akan mendatangkan masalah besar.

“Saya difahamkan proses pemilihan lokasi dicadangkan oleh pihak TLDM Sepanggar tidak dipersetujui pengurusan tertinggi Mindef dan ATM kerana ingin menyokong syarikat kroni mereka sendiri.

“Sudah tentu kebajikan anggota tentera kini telah diabaikan manakala keselamatan keluarga yang ditinggalkan ketika bertugas di tengah laut tidak akan terjamin, berikutan memikirkan masalah keluarga mereka di rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Azis merupakan Ketua Penerangan Warisan berkata, jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai Ahli Parlimen Sepanggar, isu itu akan dibawa ke Sidang Parlimen akan datang.

“Menteri Pertahanan perlu maklum…Isu ini kini sudah berlarutan lebih 10 tahun, sepatutnya masalah ini sudah diselesaikan bagi membolehkan anggota tentera dapat memberi tumpuan kepada tugas menjaga keselamatan perairan negara,” katanya.

Dalam tempoh sama Mohd Azis difahamkan anak syarikat milik kerajaan negeri juga tidak diberikan peluang untuk melaksanakan projek pembinaan berkenaan.

“Dalam tempoh sama pihak TLDM Sepanggar telah bersetuju dengan pelan perancangan awal serta lokasi yang ditawarkan oleh pihak KKIP Development Sdn Bhd.

“Kita dimaklumkan proses tender terbuka juga tidak dilaksanakan secara telus berikutan pelan cadangan syarikat kroni dari Kuala Lumpur diberi perhatian serius oleh pengurusan tertinggi Mindef dan ATM ketika mengadakan lawatan tapak pada 27 Mei 2022 lalu,” dakwanya.

Mohd Azis berkata, sepatutnya pihak pengurusan tertinggi ATM mendengar cadangan daripada pihak TLDM Sepanggar yang sudah membuat kajian tapak sejak sekian lama namun hak mereka dinafikan.

“Pengurusan Tertinggi Mindef dan ATM tidak memikirkan kebajikan anggota tentera TLDM yang telah mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan negara,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.