amree19/01/2026 - 15:10 Oleh Amree Ahmad amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) memberi amaran yang penyusutan secara ketara projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) berisiko menjejaskan prestasi SMRT Holdings Berhad.
Perkembangan negatif tersebut, sekali gus mendorong firma penyelidikan berkenaan menurunkan penarafan saham syarikat ini kepada saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) baharu iaitu hanya 32 sen sesaham.
Menurutnya, kehilangan hasil pelaksanaan sekali sahaja daripada TNB merupakan kejutan yang tidak dijangka dan menandakan satu penetapan semula pendapatan secara mendadak bagi kumpulan tersebut.
"Perkembangan ini susulan pembukaan pangkalan vendor sistem SCADA oleh TNB, yang memperlahankan kadar penempatan tapak SMRT secara material untuk beberapa tahun lagi," kata HLIB dalam notanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan SMRT menjangkakan penempatan tapak akan merosot kepada kurang 100 tapak setahun mulai FY27, berbanding purata sejarah sekitar 3,000 tapak setahun.
Jelasnya, pada tempoh suku pertama tahun kewangan 2026, kira-kira 38% pendapatan kumpulan ini disumbangkan oleh hasil sekali sahaja, manakala baki 62% datang daripada perkhidmatan terurus,
HLIB menambah, lebih 90% daripada komponen sekali sahaja itu dianggarkan berpunca daripada TNB, yang menunjukkan kebergantungan terlalu tinggi kepada potensi peningkatan pendapatan syarikat.
"Banyak projek TNB melalui pelaksanaan 'Grid Pintar' namun bilangan tapak yang belum dihubungkan kini tidak lagi relevan, berikutan jangkaan kadar pelaksanaan yang jauh lebih perlahan," katanya.
Sejajar dengan situasi itu, firma tersebut menurunkan unjuran pendapatan FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 18%, 41% dan 44%, dengan andaian penambahan tapak yang lebih rendah.
Campuran hasil diperoleh SMRT jelas HLIB, turut disemak semula, dengan sumbangan pendapatan sekali sahaja dikurangkan kepada 50% (FY26), 2% (FY27) dan 2% (FY28), berbanding 70% sebelum ini.
Dari segi penilaian pula katanya, ia mengurangkan gandaan hanya sebanyak lapan kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) dan menggulung penilaian ke atas pendapatan FY27 yang lebih rendah.
"Penilaian kecil ini mencerminkan risiko jurang pendapatan apabila asas hasil secara berulang daripada TNB menghampiri tempoh luput dalam tempoh tiga tahun yang akan datang," tambah firma tersebut.
Sementara itu, HLIB berpandangan kerjasama dengan Kuasa Aktif Sdn Bhd masih belum mencukupi bagi mengimbangi kesan negatif penyusutan projek TNB dalam jangka sederhana. - DagangNews.com
