HMD hari ini memperkenalkan satu lagi telefon dibawah jenama mereka, dinamakan HMD Skyline. Menariknya mengenai telefon pintar ini adalah ia membawakan rekaan ikonik Nokia N9 bersama-sama dengannya, selain beberapa ciri tambahan dibawah antaramuka Android mereka.

HMD Skyline ini hadir dengan skrin 6.5-inci OLED pada paparan HD+ penuh, menawarkan kadar segar semula 144Hz, dijana menggunakan Snapdragon 7s Gen 2, memori dengan pilihan sehingga 12GB RAM, serta storang sehingga 256GB. Ia turut hadir dengan bateri 4600mAh yang menyokong pengecasan 33W.
Pada bahagian kamera, ia menyertakan kamera utama 108-megapixel yang ditemani sensor 13-megapixel ultra-lebar dan 50-megapixel telefoto. Untuk swafoto, ia menggunakan kamera 50-megapixel dihadapan.

HMD Skyline menggunakan sistem operasi berasaskan Android 14, serta hadir dengan beberapa ciri menarik. Salah satunya adalah Detox Mode yang membolehkan anda mengawal notifikasi – sekaligus memberikan anda ruang dan kebebasan daripada lambakan notifikasi dari laman sosial.
Disamping itu, HMD Skyline juga ditekankan senang dibaiki, dengan pelbagai komponen ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding peranti lain dipasaran. HMD menyasarkan dua kali kemaskini sistem operasi, selain 3 tahun kemaskini sekuriti untuk HMD Skyline ini.


