
KUANTAN - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan supaya Pusat Susu Bonda Halimatussadia (HMMC) yang ditubuhkan Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dapat dimanfaatkan oleh semua bayi pramatang di seluruh negara.
Titah baginda, bagi tujuan itu, orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama yang dikurniakan kelebihan susu ibu boleh menyumbangkannya ke pusat itu.
“Saya harap HMMC dapat diteruskan dalam usaha memastikan bayi yang baharu lahir mendapat khasiat daripada susu ibu.
“Bila HMMC dapat diketahui ramai, mereka boleh datang dan menderma susu sekali gus memberi manfaatkan kepada bayi-bayi pramatang,”’ titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan untuk berangkat dan merasmikan HMMC di Pusat Perubatan UIAM di sini pada Selasa.
Tunku Azizah berkenan menurunkan tandatangan pada plak perasmian HMMC dan melawat pusat tersebut yang terletak di aras tiga di Pusat Perubatan UIAM.
Hadir sama ialahPengerusi Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI), Datin Seri Burhah Mohammed, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman.
Sementara itu, Samsudin berkata, HMMC adalah sebuah pusat susu patuh syariah bagi memastikan semua bayi yang memerlukan dapat dibekalkan dengan susu ibu.
Jelasnya, pasukan HMMC telah menjalankan penyelidikan dan menubuhkan satu set prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif dengan mematuhi maqasid syariah dalam keseluruhan proses bermula daripada pengambilan bakal penderma susu sehingga penyusuan susu ibu penderma kepada bayi baharu lahir.
“Pasukan ini juga telah memperoleh kemahiran teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara Bank Susu Manusia menerusi lawatan ke Hospital Universiti Queen Elizabeth di Glasgow pada Februari 2020.
“Pasukan ini juga telah mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa agama negeri Pahang termasuklah Pejabat Mufti Negeri Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jawatakuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang bagi mendapatkan panduan dan nasihat tentang pematuhan syariah bagi penubuhan HMMC,” katanya.

