Hoki PSAS: Speedy Tigers Catat Kemenangan Pertama, Tumbangkan Mesir 4-1

Football
6 Nov 2022 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Malaysia berjaya mengumpul mata penuh menentang Mesir. - Gambar dari FB Arena Seladang

IPOH - Pasukan hoki kebangsaan berpesta gol selepas berjaya menumbangkan pasukan Mesir 4-1 di Stadium Hoki Stadium Sultan Azlan Shah di sini, malam tadi.

Kemenangan tersebut sedikit sebanyak berjaya memadam episod duka pasukan negara selepas sekadar mencatatkan keputusan seri dan tewas pada perlawanan pembukaan dalam aksi Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) Edisi ke-29 sebelum ini.

Skuad kendalian A Arul Selvaraj membuktikan mereka dalam kelas tersendiri apabila bijak mengatur rentak dan tidak membuka ruang kepada Mesir untuk mengawal perlawanan sepenuhnya sebelum membuka aksi tersebut dengan gol pembukaan seawal minit ke-12 melalui penyerang muda skuad negara Shello Silverius.

Tersentak dengan keadaan tersebut, Mesir mula mengatur rentak serangan balas ke arah kubu skuad negara dan pada minit ke-23 Mahmoud Mamdouh berjaya menyumbat masuk gol menerusi pukulan sudut penalti.

Speedy Tigers terus mengatur strategi dan mengasak kubu pertahanan Mesir pada suku ketiga perlawanan dan pada minit ke-40 Muhammad Firhan Ashari berjaya meletakkan namanya sebagai penjaring hasil pukulan sudut penalti.

Gawang Mesir bolos buat kali ketiga menerusi Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-48 hasil gol padang dan Shello Silverius memastikan kemenangan Malaysia apabila menyumbang gol peribadi keduanya dua minit berselang.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengumpul empat mata dan berada di tempat ketiga di belakang Jepun dengan berbaki satu perlawanan menentang Afrika Selatan yang tertunda akibat hujan lebat semalam.

Sementara itu, Arul Selvaraj menyatakan beliau yakin anak buahnya mampu menundukkan Afrika Selatan pada perlawanan tertunda hari ini dengan misi wajib menang.

“Pemain saya bermain dengan penuh jiwa walaupun kita menang dengan gol lewat namun hasilnya kita mengutip tiga mata penuh.

“Mereka juga bermain dengan penuh semangat, percaya pada rakan sepasukan selain mempunyai disiplin yang tinggi dan kita akan ulangi apa yang kita lakukan menentang Afrika Selatan,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved