Honda Civic Type R serba baharu dilancar di Malaysia, terhad 19 unit berharga RM399,900
zulfadli
27/09/2023 - 15:26
KUALA LUMPUR 27 Sept - Honda Malaysia melancarkan Civic Type R serba baharu berharga RM399,900, yang kini dibuka untuk tempahan.
Model Ultimate Sport yang dinantikan peminat kereta berprestasi adalah kereta paling berkuasa yang pernah dijual oleh Honda di Malaysia.
Untuk tahun ini, hanya 19 unit Civic Type R serba baharu tersedia secara eksklusif kepada pelanggan. Peminat kereta itu yakin lebih banyak unit Civic Type R akan datang pada 2024.
Berikutan unit terhad untuk tahun ini, pihak Honda Malaysia akan menggunakan sistem undian bagi pelanggan yang telah menempah Civic Type R tersebut.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, Civic Type R merangkumi DNA teras Honda yang merupakan semangat perlumbaan.
"Civic Type R bukanlah baharu di Malaysia kerana kami memperkenalkannya pada 2007. Pada masa ini terdapat lebih 600 pemilik Civic Type R di negara ini.
"Ia yang dilancarkan hari ini direka bentuk untuk memberikan persembahan mendebarkan di jalan raya mahupun di litar lumba. Civic Type R serba baharu pastinya mendapat tempat yang menonjol dalam pasaran," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Reka bentuk aerodinamik Civic Type R serba baharu berusaha untuk mencapai kehadiran seperti kereta lumba yang mantap, dan kukuh.
Ia menawarkan gril hadapan yang berfungsi untuk aliran udara, alur keluar fender hadapan yang mengurangkan tekanan dalam roda untuk membolehkan udara mengalir lancar ke sisi dan hiasan ambang sisi meningkatkan kecekapan aliran udara di hadapan tayar belakang.

Spoiler aluminium belakang yang direka bentuk semula dan peresap belakang baharu memberikan kestabilan yang tinggi, meningkatkan daya bawah dan meminimumkan seretan aerodinamik untuk prestasi unggul.
Ciri luaran lain yang ketara bagi Civic Type R Serbaharu termasuk rim tayar eksklusif Matte Black 19-inci, dan lencana Type R eksklusif dengan logo Honda merah pada kedua-dua gril hadapan dan pintu belakang.

Di bawah hud Civic Type R serba baharu ini ialah enjin 2.0L VTEC Turbo berkuasa yang menghasilkan 319PS dan tork 420Nm yang hebat. Enjin berprestasi tinggi terbaik menawarkan output, tork dan tindak balas lebih baik untuk pengalaman pemanduan yang tiada tandingan.
Civic Type R serba baharu menampilkan pecutan dari 0-100km/j dalam 5.5 saat, menawarkan pemanduan mendebarkan dalam empat mod pemanduan; comfort, sport, +R dan individual baharu dan boleh disesuaikan oleh pemandu.
Satu ciri unik untuk Civic Type R serba baharu dan yang pertama untuk Honda Malaysia ialah aplikasi Honda Log R yang direka khas untuk model ini bagi pemandu mencapai peningkatan ketara dalam masa pusingan.
Ciri-ciri lain yang disertakan dalam hot hatch ialah Audio Paparan Lanjutan 9-inci, Pengecas Tanpa Wayar, Kamera Songsang Berbilang sudut, Lapan Beg Udara dan Penderia Tempat Letak Kereta Depan dan Belakang.
Honda CONNECT turut ditawarkan serta Honda SENSING dengan 8 ciri canggih. Civic Type R serba baharu boleh didapati dalam warna Championship White yang ikonik untuk pasaran Malaysia. - DagangNews.com
