Honda Jazz Rempuh Tiang Lampu Terbakar, Bayi 7 Bulan Rentung & Bapa Melecur Seluruh Badan

28 Nov 2023 • 11:50 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sejak semalam, tular di media sosial satu video yang memaparkan sebuah kereta sedang terbakar selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kota Bharu, Kelantan.

Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai menerusi satu kenyataan di Facebook memaklumkan, dalam kemalangan itu, seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan maut, manakala ibu bapanya pula mengalami kecederaan.

Kereta terbabas langgar tiang lampu sebelum terbakar

Difahamkan, kenderaan yang dinaiki tiga beranak itu terbakar selepas melanggar tiang lampu di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada awal pagi semalam (27 November).

Susulan itu, mangsa yang dikenali sebagai Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat ditemukan rentung berhampiran kenderaan berkenaan.

Pegawai Operasi BBP Kuala Krai, Mohd Fadzil Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.04 pagi.

“Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang telah terbabas dan melanggar tiang lampu. Lebih malang lagi, akibat daripada kejadian itu, kereta tersebut turut terbakar.

“Terdapat tiga mangsa iaitu seorang lelaki, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, cedera parah akibat melecur seluruh tubuh, manakala isterinya, Nur Hasidah Razmi, 25, pula cedera ringan.

“Anak mereka berusia tujuh bulan dijumpai rentung berhampiran kereta terbabit,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Bayi diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut

Jelas Mohd Fadzil, bayi tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Berkongsi lanjut, beliau berkata ibu bapa mangsa pula yang cedera telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.