


Honda Malaysia menetapkan sasaran jualan sebanyak 83,000 unit kenderaan dan pegangan pasaran sebanyak 10.6% daripada jumlah volum industri (TIV) bagi tahun 2025. Pengumuman ini dibuat dalam sesi pertemuan bersama media minggu lalu, yang mana Honda turut mendedah rancangan untuk melancarkan sekurang-kurangnya tiga model baharu tahun ini.
Sasaran Jualan 83,000 Unit & Keyakinan Terhadap Model ICE Serta Hibrid

Walaupun sasaran yang diumumkan itu hanyalah peningkatan sekitar 1.7% atau penambahan sebanyak 1,400 unit berbanding 81,600 unit yang dijual pada tahun lalu, ini masih lagi membolehkan Honda mempertahankan takhtanya sebagai peneraju segmen kenderaan penumpang bukan nasional lebih daripada 10 tahun secara berturut-turut.


Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, sasaran jualan ini ditetapkan selepas mengambil kira beberapa cabaran yang bakal dihadapi dalam industri automotif tahun ini. Walaupun begitu, syarikat tetap optimis bahawa barisan model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid e:HEV akan terus relevan di pasaran tempatan.


Bercakap mengenai model hibrid, Honda Malaysia mendedahkan bahawa lebih 30% daripada jumlah jualan kenderaan hibrid di Malaysia tahun lalu terdiri daripada model e:HEV. Ini merupakan peningkatan sebanyak 2% berbanding tahun sebelumnya. Berdasarkan prestasi kukuh ini, Honda Malaysia menjangkakan permintaan terhadap model hibrid e:HEV akan terus meningkat, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95 yang dijangka bermula tidak lama lagi.
Tiga Model Baharu Bakal Dilancarkan


Bagi tahun 2025, Honda Malaysia bersedia memperkenalkan tiga model baharu. Model pertama telah pun dilancarkan pada Januari lalu, iaitu sedan Honda Civic FE facelift. Seterusnya, syarikat bakal membawa masuk model elektrik pertamanya, Honda e:N1, yang sebelum ini telah dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) tahun lalu.

Honda Vezel (HR-V) facelift mungkin akan dilancarkan sebagai model baharu ketiga bagi tahun ini
Bagi model ketiga, analisis terhadap barisan model sedia ada menunjukkan bahawa satu-satunya model yang masih belum menerima kemas kini pertengahan hayat ialah Honda HR-V. Versi facelift model tersebut baru sahaja diperkenalkan di Jepun tahun lalu. Memandangkan pesaing utama seperti Toyota telah melancarkan Corolla Cross facelift semasa KLIMS 2023, tidak mustahil Honda Malaysia akan membawa masuk HR-V facelift ke pasaran tempatan dalam masa terdekat.

