Honda perkenal varian CR-V e:HEV RS di Malaysia, harga bermula RM195,900
zulfadli
12/01/2024 - 12:09
KUALA LUMPUR 12 Jan - Honda Malaysia mengumumkan harga model SUV, Honda CR-V e:HEV RS yang ditawarkan bermula RM195,900.
Honda Malaysia berkata, diperkenalkan pada Disember lalu ketika pelancaran CR-V serba baharu, varian e:HEV RS dengan jolokan 'The Ultimate SUV'.
Katanya, Honda CR-V e:HEV RS serba baharu dikuasakan dengan trenkuasa generasi baharu 2.0L e:HEV yang menghasilkan kuasa sehingga 184PS dan tork 335Nm dengan mengetengahkan prestasi kereta hibrid.
Selain itu katanya, rangkaian kuasa dipasangkan dengan Transmisi Pembolehubah Berterusan Elektrik (e-CVT) dalam rangka kerja baharu, memastikan kecekapan bahan api yang sangat baik dan keserasian kuasa tinggi.
"Penawaran Sistem Pemanduan 3-Mod dalam CR-V e:HEV RS juga meningkatkan sensasi dengan memboleh pemandu menukar mod pemanduan mengikut keutamaan mereka.
"CR-V e:HEV RS juga menampilkan reka bentuk seimbang dan estetika, dengan gaya moden serta sofistikated," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut kenyataan itu, ia hadir dengan gril depan dengan corak Mesh tebal, lampu LED di bahagian depan dan belakang, lampu isyarat LED, kemasan krom di belakang ekzos dan lampu membelok aktif.

Katanya, ia turut dilengkapi dengan gril penutup aktif, ciri automatik pada bampar depan bawah (Front Lower Bumper) yang menambah baik aerodinamik dan penjimatan bahan api.
Selain itu, varian e:HEV RS didatangkan dengan rim aloi Berlina hitam 18-inci yang meningkatkan rasa premium model itu. Ia juga menawarkan lampu kabin ambien berwarna.

"Buat pertama kali untuk Honda Malaysia, model ini dilengkapi dengan lapan beg udara termasuk dua beg udara di bahagian lutut.
"CR-V e:HEV RS menawarkan aspek praktikaliti dan fleksibel dengan kapasiti but 589-liter dengan kemudahan tailgate berkuasa dengan fungsi 'walkaway close'," katanya.
Menjengah ke dalam kabin katanya, varian ini lengkap dengan meter TFT 10.2 inci dan sistem bunyi premium Bose dengan 12 pembesar suara.

Antara lain, CR-V e:HEV RS didatangkan dengan kad kunci pintar, unit paparan HUD, pengecas tanpa wayar, dua port USB di hadapan dan belakang, paparan audio termaju 9-inci dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.
"Pakej keselamatan komprehensifnya terdiri daripada sejumlah lapan beg udara, kamera 360 darjah, Honda LaneWatch dan Honda CONNECT.
"CR-V e:HEV RS kini memiliki sembilan fungsi Honda SENSING dengan ciri terbaharu Adaptive Driving Beam (ADB)," katanya. - DagangNews.com

