Hong Kong Duduki Tangga Kedua Destinasi Mesra Muslim 2026 Untuk Bukan OIC

WorldTravel
23 Jun 2026 • 11:01 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Hong Kong Duduki Tangga Kedua Destinasi Mesra Muslim 2026 Untuk Bukan OIC

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hong Kong ialah destinasi percutian yang unik kerana menggabungkan keindahan bandar moden dengan pesona alam semula jadi.

Dari pemandangan ikonik latar langit pencakar langit di Victoria Harbour hingga ke kawasan pergunungan, pulau-pulau kecil dan pantai yang tenang, setiap sudut Hong Kong menawarkan pengalaman yang berbeza.

Malah pada masa kini Hong Kong juga semakin menjadi pilihan dalam kalangan pelancong Muslim kerana kemudahan mesra Muslim yang semakin berkembang, termasuk pilihan makanan halal, restoran mesra Muslim dan tarikan yang sesuai untuk pelancong keluarga.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Nak Bercuti Ke Hong Kong? Ini 9 Lokasi Menarik Anda Patut Lawati!

BACA ARTIKEL BERKAITAN: MAMTOM, Tahitian Terrace & 7 Lagi Restoran Halal & Mesra Muslim Di Hong Kong Anda Boleh Cuba

Terbaharu Hong Kong terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu destinasi mesra Muslim terkemuka dunia apabila berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Destinasi Mesra Muslim (Bukan Pertubuhan Kerjasama Islam, Non-OIC) di Halal in Travel Awards 2026.

Anugerah tersebut disampaikan sempena Halal in Travel Global Summit di Singapura, di mana CrescentRating, antara badan rujukan utama dunia dalam pelancongan halal bersama Mastercard telah melancarkan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026.

Image from: Hong Kong Duduki Tangga Kedua Destinasi Mesra Muslim 2026 Untuk Bukan OIC

Pencapaian ini merupakan peningkatan daripada kedudukan ketiga yang dicapai Hong Kong tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan bandar raya itu dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih inklusif dan lancar untuk pelancong Muslim.

Menerusi senarai rangking bukan Negara OIC tersebut, Singapura menduduki tangga pertama manakala Taiwan dan United Kingdom berkongsi tempat ketiga selepas Hong Kong diikuti Filipina dan Thailand.

Image from: Hong Kong Duduki Tangga Kedua Destinasi Mesra Muslim 2026 Untuk Bukan OIC

Hong Kong No 1 Destinasi Pelancongan Mesra Muslim untuk Wanita (NON-OIC)

Hong Kong turut menduduki tempat pertama dalam kategori Destinasi Pelancongan Mesra Muslim untuk Wanita (Non-OIC) di peringkat global.

Selain itu bandar berkenaan terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam kategori Destinasi Pelancongan Mesra Muslim dan Mudah Diakses (Non-OIC).

Malaysia pula terus mengekalkan kedudukan sebagai nombor 1 sebagai Destinasi Pelancongan Mesra Muslim dan Mudah Diakses untuk negara OIC.

Image from: Hong Kong Duduki Tangga Kedua Destinasi Mesra Muslim 2026 Untuk Bukan OIC

Peningkatan kedudukan Hong Kong didorong oleh rangkaian kemudahan dan penawaran mesra Muslim yang semakin meluas di seluruh bandar, termasuk di lokasi pelancongan utama dan infrastruktur pelancongan. Sehingga kini, Hong Kong mempunyai hampir 290 premis yang diperakui halal, termasuk 222 restoran halal dan milik Muslim di seluruh bandar serta 61 hotel yang menerima penarafan CrescentRating.

Komitmen Hong Kong terhadap pelancongan mesra Muslim turut terserlah menerusi kejayaan beberapa pemain industri pelancongan tempatan yang menerima pengiktirafan dalam anugerah tahun ini, antaranya:

  • Hab Pengangkutan Mesra Muslim 2026 – Kai Tak Cruise Terminal
  • Hotel Mesra Muslim 2026 – Dorsett Tsuen Wan Hong Kong
  • Tarikan Mesra Muslim 2026 – Ocean Park Hong Kong

Seiring dengan peningkatan pengiktirafan ini, ketibaan pelawat dari Malaysia meningkat sebanyak 9.7% tahun ke tahun pada suku pertama 2026, mencerminkan minat yang semakin tinggi terhadap penawaran mesra Muslim di Hong Kong.

Pengerusi HKTB Peter Lam, berkata, “Kami berbesar hati melihat Hong Kong terus mencatat kemajuan dalam mempromosikan pelancongan mesra Muslim, di samping  menerima pengiktirafan antarabangsa secara berterusan. Anugerah-anugerah ini mencerminkan usaha bersepadu Kerajaan, HKTB serta pemain industri pelancongan. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakan-rakan industri yang menerima pengiktirafan ini, serta mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan atas sokongan berterusan dan kepada pihak industri atas penglibatan aktif mereka.

Image from: Hong Kong Duduki Tangga Kedua Destinasi Mesra Muslim 2026 Untuk Bukan OIC

Melangkah ke hadapan, HKTB akan terus memperkukuh strategi ‘akreditasi, pendidikan dan promosi’ dengan mengekalkan kerjasama rapat bersama industri pelancongan, sektor makanan dan minuman, serta industri berkaitan pelancongan yang lain. Usaha ini bertujuan menggalakkan pengenalan lebih banyak kemudahan dan pilihan makanan mesra Muslim. Langkah ini akan membantu memperkasakan pelancongan Muslim, mengukuhkan kedudukan Hong Kong sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim, serta menarik lebih ramai pelawat ke Hong Kong.”

Tingkatkan Kesedaran Melalui Kempen “Jelajah Hong Kong”

Melengkapkan lagi pencapaian ini, kempen “Jelajah Hong Kong” oleh HKTB telah memenangi anugerah Kempen Pemasaran Pelancongan Halal Terbaik 2026, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaannya mendekati pelancong Muslim menerusi penceritaan autentik, kandungan destinasi yang disusun khas serta sumber pelancongan yang praktikal.

Selaras dengan semangat Discover Hong Kong, kempen ini menampilkan mesej yang lebih dekat dengan budaya dan nilai masyarakat Muslim di Asia Tenggara. Melalui pendekatan berpaksikan khalayak sasaran, Hong Kong berjaya mengetengahkan pelbagai pengalaman mesra Muslim yang ditawarkan kepada pelancong serantau.

Antara sorotan utama kempen ini ialah penerbitan video muzik Hari Raya pertama yang dirakam sepenuhnya di Hong Kong, hasil kerjasama bersama artis Malaysia, Ernie Zakri dan Syamel Aqmal. [Untuk dikemas kini mengikut pasaran]

Kempen ini turut disokong oleh pelbagai sumber rujukan khusus seperti bahagian Muslim Travel di DiscoverHongKong.com dan Panduan Pelancongan Muslim Hong Kong dalam format digital. Sumber-sumber ini memudahkan pelancong mencari restoran yang diperakui halal, kemudahan solat, tarikan mesra Muslim, pilihan penginapan serta cadangan itinerari yang sesuai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved