Hong Leong AM isytihar RM449 juta pengagihan pendapatan bagi 19 dana unit amanah
diyana
08/02/2024 - 12:45
KUALA LUMPUR 8 Feb - Hong Leong Asset Management Bhd (Hong Leong AM) telah mengisytiharkan pengagihan pendapatan berjumlah RM449 juta membabitkan 19 dana unit amanahnya bagi tempoh 12 bulan bermula 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.
Dua dana patuh syariahnya, HL Dana Makmur dan HL Dana Maa’rof masing-masing memperoleh hasil agihan sebanyak 4.74% dan 4.32%.
Sementara itu, dana konvensional HL Growth Fund menjana hasil agihan tertinggi pada 7.91%, diikuti HL Value Fund (6.87%), HL Dividend Fund (6.74%) dan HL SEA-5 Equity Fund-Class A (6.4%).
Dana konvesional lain pula mendapat hasil agihan di bawah 6% iaitu HL Asia Pacific Equity Fund (5.92%), HL Balanced Fund (5.9%), HL Asia-Pacific Dividend Fund (5.04%) dan HL Consumer Products Sector Fund (5.04%).
“Meskipun turun naik dan ketidaktentuan pasaran dijangka berterusan pada 2024 disebabkan oleh pelbagai cabaran makro di seluruh dunia, Hong Leong AM akan meneruskan tumpuannya terhadap penerapan strategi yang bersesuaian untuk menyediakan potensi pertumbuhan dan peluang kepada pelaburnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut syarikat itu, empat daripada dananya yang diluluskan Skim Pelaburan Ahli KWSP (MIS) iaitu HL Asia-Pacific Dividend Fund, HL Dividen Fund, HL Dana Makmur dan HL Dana Maa'rof secara kolektif telah menerima 20 Anugerah Dana Refinitiv Lipper 2023 untuk dua kategori, Malaysia Islamik dan Global Islamik.
Dana-dana tersebut diagihkan menerusi pejabat Hong Leong AM dan cawangan Hong Leong Bank Berhad di seluruh negara, manakala dana terpilih juga diagihkan melalui pasukan agensi Hong Leong AM di seluruh negara dan secara digital melalui HL iSmart Invest. - DagangNews.com



