Hong Leong Islamic Bank perkenal BizHalal bantu PKS ceburi ekonomi halal

Business & Finance
12 Mar 2024 • 3:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hong Leong Islamic Bank perkenal BizHalal bantu PKS ceburi ekonomi halal

diyana

12/03/2024 - 15:14

KUALA LUMPUR 12 Mac - Hong Leong Islamic Bank (HLISB) telah memperkenalkan BizHalal, rumusan perbankan Islam bersepadu yang membantu perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk menceburi ekonomi halal.

Selaras dengan penekanan kerajaan untuk mengembangkan ekosistem halal di Malaysia, BizHalal akan menawarkan pembiayaan patuh syariah kepada perniagaan, yang dilengkapi dengan nasihat dan bimbingan daripada pakar-pakar industri halal bank tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, industri halal telah dikenal pasti sebagai antara segmen pertumbuhan utama bagi HLISB sejak 2018 dan bank itu komited untuk merangsang sektor halal dengan memperjuangkan pertumbuhan PKS halal tempatan dan memberi jaminan pembiayaan halal melalui Halal Development Corporation (HDC).

"Kami melihat potensi yang besar dalam industri halal dan telah menambah pakar-pakar halal ke dalam pasukan kami pada tahun 2023 sebagai usaha mengukuhkan kepakaran. Kami juga menyedari bahawa permintaan pembiayaan semakin meningkat dalam kalangan pelanggan industri halal.

“Membangunkan BizHalal sebagai pakej nasihat dan pembiayaan yang inklusif adalah bukti komitmen kami untuk memupuk pertumbuhan dan kejayaan perniagaan, terutamanya PKS, dalam sektor halal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tawaran inovatif dan holistik itu dilancarkan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara HLISB dan HDC, secara rasmi melantik bank itu sebagai rakan kongsi HDC dalam mempromosikan dan membangunkan industri halal tempatan.

Tawaran inovatif dan holistik itu dilancarkan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara HLISB dan HDC, secara rasmi melantik bank itu sebagai rakan kongsi HDC dalam mempromosikan dan membangunkan industri halal tempatan.

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun menambah bahawa hanya sekitar 2,000 daripada 10,000 syarikat yang disahkan halal di Malaysia adalah pengeksport dan PKS menyumbang sekitar 10% daripada jumlah nilai eksport halal.

“Terdapat jurang besar sebanyak 80% antara permintaan dan penawaran dalam pasaran Halal, yang membuktikan keperluan negara untuk menjalin kolaborasi dengan pemain industri utama seperti HLISB dan mewujudkan pemimpin halal tempatan yang akan menyuntik idea dan menceburi bidang baharu dalam ekosistem halal,” ujar beliau.

Menurut Khairul, HDC juga komited untuk meningkatkan ekonomi dengan memanfaatkan rumusan digital seperti Halal Integrated Platform (HIP), platform digital komprehensif yang memastikan pemprosesan cekap dan lancar bagi memantau dan mengurus keseluruhan perjalanan permohonan halal.

BizHalal terbuka kepada pelanggan sedia ada dan baharu yang telah pun disahkan halal serta mereka yang masih belum mendapat pensijilan halal dan dianggap ‘potensi halal’.

Selain itu, pelanggan yang telah menerima sebarang kemudahan pembiayaan perniagaan HLISB secara automatik akan layak untuk BizHalal. - DagangNews.com