
Tular imej promosi yang memperlihatkan peranti baharu Honor iaitu versi Air untuk siri Magic8. Model ini dijangka dilancarkan dalam masa terdekat sebagai Honor Magic8 Pro Air.

Rekaannya menampilkan gabungan elemen daripada Apple dan Google Pixel khususnya pada bahagian belakang. Susunan kamera terdiri daripada dua modul mendatar dengan satu memanjang di sebelah kanan serta sebuah bonggol kecil menyerupai iPhone Air di sisi. Kamera utama dijangka hadir dengan sensor 50MP (1/1.3″) seperti pada Magic8 Pro namun maklumat mengenai dua sensor tambahan masih belum didedahkan.

Sebagai sebuah model ‘Air’, aspek ketebalan dan berat menjadi keutamaan. Peranti ini hadir dengan ketebalan hanya 6.1 mm serta berat sekitar 155 gram. Ia turut dilengkapi bateri berkapasiti 5,500mAh yang dianggap memadai untuk kegunaan harian. Sokongan pengecasan pantas 80W diberikan turut cukup untuk mengekalkan keseimbangan antara prestasi dan rekaan kompak.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu jingga, ungu, putih dan hitam. Jika sebelum ini model mini menjadi pilihan utama pengeluar, trend baharu menunjukkan versi ini pula bakal membanjiri pasaran dalam masa terdekat.

