Honor telah memperlihatkan peranti boleh katup terbaharu mereka Honor Magic V2 Flip kepada umum selepas pereka kasut terkenal, Datuk Jimmy Choo memuat naik satu kemas kini di Instagram. Dalam hantaran tersebut, beliau meluahkan rasa gembira kerana sekali lagi dapat bekerjasama dengan Honor untuk produk akan datang, yang turut menerima sentuhan eksklusif daripada beliau.

Honor kemudiannya mengesahkan kewujudan peranti tersebut dengan pengumuman rasmi bahawa pelancarannya akan berlangsung di China pada 21 Ogos 2025. Reka bentuk telah dikongsi yang memperlihatkan peranti dengan kemasan elegan serta menampilkan rona ungu berkilau lembut yang dijangka menyerlahkan nilai feminin khususnya kepada pengguna wanita.
Dari segi reka bentuk, Honor Magic V2 Flip dilihat menerima perubahan ketara dengan elemen yang menyerupai Xiaomi MIX Flip2. Ia dilengkapi skrin luar bersaiz besar dan dua bonggol kamera yang disusun secara menegak, berbeza dengan model terdahulu yang menggunakan satu bonggol kamera besar dan satu lagi bersaiz kecil.

Bahagian sisi peranti masih sejenis rata yang mungkin bertujuan untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih selesa. Bahagian belakang pula tampil dengan rekaan minimalis dan penjenamaan Honor seperti kebanyakan peranti mereka sebelum ini.
Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai spesifikasi khusus peranti tersebut termasuk skrin bahagian dalam. Namun, ia dijangka akan dikongsi dalam masa terdekat menjelang pelancaran rasmi.

