
Honor kini mengesahkan bahawa Magic9 Pro Max akan memasuki pasaran Malaysia pada 24 November 2026. Kehadirannya sekali gus menambah persaingan dalam segmen telefon pintar mercu di pasaran ini.

Tumpuan utama peranti ini sudah semestinya terletak pada sistem kamera yang dibangunkan bersama ARRI iaitu jenama yang cukup dikenali dalam dunia perfileman profesional. Kerjasama ini mengukuhkan lagi fokus siri Magic terhadap kemampuan kamera yang menjadi antara tarikan utamanya sejak beberapa generasi lalu. Turut mencuri perhatian ialah rekaan Magic9 Pro Max yang hadir dengan kemasan hijau baharu sekali gus memberikan penampilan lebih segar. Ia juga menjadi model Pro Max pertama yang dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia.

Tiada sebarang maklumat spesifikasi didedahkan buat masa ini. Sebaliknya, Honor hanya membuka pendaftaran minat menjelang pelancaran rasmi peranti tersebut. Dalam perkembangan berkaitan, Honor turut mengumumkan bahawa Magic9 Pro Max dipilih sebagai peranti rasmi Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) menerusi kerjasama yang dimeterai pagi tadi.
