Honor Malaysia telah mengumumkan bahawa komputer riba terbaharu mereka HONOR MagicBook Art 14 (2025) akan dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan pada 20 Ogos 2025. Pelancaran ini akan berlangsung seiring dengan pengenalan tablet Honor MagicPad 3 sebagai kemas kini kepada model tahun 2024 yang terdahulu.

Setakat ini, Honor hanya memaparkan imej promosi yang memperlihatkan rekaan komputer riba tersebut dengan pilihan warna menyerupai Rose Gold. Reka bentuknya kelihatan nipis dan ringan selari dengan pendekatan model sebelum ini yang menekankan aspek pengalaman mudah alih dan rekaan moden.
Walaupun spesifikasi masih belum didedahkan, sekiranya model ini menyerupai dengan versi yang telah dilancarkan di China, ia dijangka hadir dengan cip pemproses Intel Core Ultra 7 255H, pilihan memori 16GB atau 32GB LPDDR5x, serta storan SSD berkapasiti 1TB atau 2TB.

Paparan skrin OLED bersaiz 14 inci dengan kecerahan maksium sehingga 1600nits turut dijangka menjadi antara ciri utama, di samping kamera web yang boleh disorokkan bagi mengekalkan rekaan minimalis. Maklumat lanjut termasuk harga jualan rasmi dijangka akan diumumkan semasa pelancaran kelak.



