Baru-baru ini, Crucial, sebuah syarikat pembuat komponen memori komputer mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan pilihan memori LPDDR5 12GB dan juga 24GB tidak lama lagi, dan nampaknya, Honor ialah syarikat pertama yang akan menggunakan memori ini.
Perkara ini dapat dilihat melalui platform penanda-aras CPU Geek Bench yang memperlihatkan komputer riba Honor MagicBook Pro 16 AI terbaru mereka tampil dengan penawaran memori sebanyak 24GB, menggunakan modul memori baru ini.

Beberapa butiran lain mengenai komputer riba ini diperlihatkan, seperti penggunaan cip pemprosesan Intel Meteor Lake, penawaran memori 24GB dan 32GB dengan storan SSD 1TB. Komputer riba ini juga akan hadir dengan penawaran paparan skrin bersaiz 16 inci dengan resolusi 3072×1920 dan kadar segar semula 165Hz.

Penggunaan memori baru ini membolehkan pembuat komputer riba untuk menawarkan pilihan memori yang lebih tinggi tanpa perlu risau mengenai slot memori yang tidak mencukupi. Tawaran memori 12GB dilihat akan menggantikan penawaran memori lebih rendah seperti 8GB dan 4GB, dan ini penting sekarang, apabila banyak komputer riba tampil dengan kemampuan AI yang memerlukan jumlah memori yang lebih tinggi.
- Sumber
- VideoCardz, Golden Pig
