HONOR Pad X7b: Spesifikasi, Varian, Harga

LocalTechnology
5 Nov 2026 • 10:23 PM MYT
eCentral
eCentral

Portal rujukan nombor #1 Malaysia. Kini lebih 30 juta capaian sebulan!

HONOR Pad X7b kini muncul sebagai pilihan tablet bajet yang menarik di Malaysia pada harga bermula RM699.

Tablet ini merupakan tambahan terbaru kepada barisan peranti mampu milik HONOR, menampilkan skrin 9.7 inci 2K dan bateri 8,000mAh yang besar.

Dengan harga yang berpatutan dan spesifikasi yang kompetitif, HONOR Pad X7b menawarkan nilai yang baik bagi pengguna yang mencari tablet serba boleh untuk kegunaan harian, terutamanya untuk keluarga dengan anak-anak.

Pelancaran rasmi peranti ini bersama beberapa aksesori audio baharu menunjukkan usaha HONOR untuk melengkapkan ekosistem peranti mampu milik bagi keluarga dan pengguna harian.

Spesifikasi & Rekabentuk

HONOR Pad X7b

Dari segi binaan, tablet ini menggunakan badan logam tunggal yang diperbuat daripada aloi aluminium dengan kemasan pasir halus, memberikan penampilan premium yang jarang ditemui dalam segmen harga ini.

Bahagian hadapan dilindungi kaca diperkukuh sekunder bagi meningkatkan ketahanan terhadap jatuhan dan calar. Peranti ini mempunyai ketebalan 8.48mm dan berat 447 gram, menjadikannya mudah dibawa dalam beg atau dipegang untuk tempoh yang lama.

Ia turut menerima pensijilan SGS 5-Star Enhanced Drop and Crush Resistance, menandakan bahawa HONOR memberi penekanan serius terhadap ketahanan fizikal walaupun pada produk bajet.

Skrin merupakan salah satu tarikan utama peranti ini dimana ia menggunakan panel IPS LCD bersaiz 9.7 inci dengan resolusi 2K (2052 x 1152 piksel), kadar segar semula 90Hz dan kecerahan sehingga 500 nits.

Kombinasi ini memberikan paparan yang tajam dan peralihan animasi yang lebih lancar berbanding tablet bajet biasa yang masih menggunakan panel 60Hz.

HONOR turut menyertakan beberapa ciri penjagaan mata seperti Dynamic Dimming, E-Book Mode dan pengurangan cahaya biru perisian, di samping pensijilan TÜV Rheinland Low Blue Light dan Flicker-Free.

Ciri-ciri ini menjadikan tablet lebih selesa digunakan untuk bacaan panjang dan sesi pembelajaran kanak-kanak.

spesifikasi HONOR Tab X7b

HONOR Pad X7b dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 685 yang dibina pada proses 6nm, dipadankan dengan memori fizikal 4GB RAM dan storan dalaman 128GB.

HONOR turut menyediakan teknologi RAM Turbo yang membolehkan tambahan sehingga 4GB memori maya, membantu mengekalkan lebih banyak aplikasi dalam latar belakang.

Storan boleh dikembangkan sehingga 2TB melalui slot microSD khusus, memberikan ruang tambahan untuk menyimpan fail media, dokumen dan kandungan pembelajaran.

Prestasi cip ini berada pada tahap permulaan yang mencukupi untuk tugasan harian seperti melayari web, menstrim video dan menjalankan aplikasi produktiviti asas, walaupun bukan untuk permainan grafik berat.

Tablet ini menjalankan MagicOS 10 berasaskan Android 16, yang membawa antara muka moden dan beberapa ciri produktiviti.

Antara ciri utama yang ditonjolkan ialah HONOR Kids Space, yang menyediakan alat kreatif khusus untuk kanak-kanak seperti Kids Camera, Kids Canvas dan Kids Recorder yang membolehkan ibu bapa boleh mengawal masa skrin, menyekat aplikasi dan menapis kandungan melalui konsol ibu bapa empat peringkat.

Sensor terbina dalam juga mampu memberikan amaran masa nyata terhadap postur tidak betul seperti berbaring rata, melihat skrin terlalu dekat, perubahan pencahayaan ambien dan pergerakan dalam kenderaan.

Ciri-ciri ini menjadikan tablet ini pilihan praktikal untuk keluarga yang mahukan peranti pendidikan dengan kawalan ibu bapa yang munasabah.

Artikel berkaitan: HONOR Pad 20: Spesifikasi, Rekabentuk, Varian dan Harga

Kamera & Bateri

tablet baru Honor
HONOR Pad X7b with 8000mAh battery delivering extended standby and power for continued use.

Peranti ini dilengkapi kamera belakang dan hadapan yang masing-masing beresolusi 5MP dan spesifikasi ini adalah standard untuk tablet dalam kelas harga ini dan memadai untuk panggilan video, pengimbasan dokumen ringkas dan tangkapan gambar kasual.

Ia bukanlah tumpuan utama peranti, tetapi keupayaannya sudah mencukupi untuk keperluan asas pengguna harian yang tidak mengharapkan kualiti fotografi tinggi.

Bateri 8,000mAh yang dibenamkan menawarkan daya tahan yang baik, dengan HONOR mendakwa sehingga 16 jam main balik video tempatan dan sehingga 82 hari masa siap sedia di bawah keadaan ujian makmal.

Angka ini perlu disahkan melalui penggunaan sebenar, kerana ketahanan sebenar bergantung kepada kecerahan skrin, sambungan dan aplikasi yang dijalankan.

Namun, kapasiti besar ini sudah pasti memberikan kelebihan untuk pengguna yang kerap menonton kandungan atau menggunakan tablet sepanjang hari tanpa akses kepada pengecas.

Untuk sambungan, tablet ini menyokong Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.0 d mana varian LTE menawarkan sambungan mudah alih melalui kad SIM, menjadikannya lebih fleksibel untuk pengguna yang kerap bergerak atau memerlukan akses internet di luar kawasan Wi-Fi.

Kehadiran slot microSD khusus bermakna pengguna boleh menambah storan tanpa mengorbankan slot SIM, satu kelebihan yang sering diabaikan dalam tablet bajet.

Varian & Harga

tablet honor bajet

Di Malaysia, HONOR Pad X7b ditawarkan dalam dua varian sambungan dengan konfigurasi storan yang sama, iaitu 4GB RAM dan 128GB storan dan hanya tersedia dalam warna Space Gray. Berikut merupakan harga tablet ini untuk pasaran Malaysia:

  • Varian Wi-Fi – RM699
  • Varian LTE – RM799

Setiap pembelian disertakan penutup flip percuma bernilai RM159, menambah nilai keseluruhan pakej.

Tablet ini boleh didapati melalui HONOR Experience Stores, laman web rasmi HONOR, kedai rasmi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop, serta peruncit sah seperti Senheng, SenQ, Harvey Norman dan Urban Republic.

Dengan harga bermula RM699 dan aksesori percuma yang disertakan, pakej ini memberikan nilai yang kompetitif dalam segmen tablet bajet, terutamanya bagi keluarga yang mencari peranti pendidikan dan hiburan untuk kanak-kanak.

Walaupun prestasi pemprosesannya sederhana dan kamera tidak menonjol, ia memadai untuk keperluan harian majoriti penggun dan tablet ini wajar dipertimbangkan oleh mereka yang mahukan peranti serba boleh tanpa komitmen kewangan yang besar.

Untuk maklumat lanjut, layari lama web rasmi HONOR Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved