Siri Honor X cukup dikenali sebagai telefon tahan lasak yang tentunya sesuai untuk pelbagai keperluan pengguna hari ini. Perkara ini dijayakan hasil gabungan teknologi Honor Ultra-bounce Anti-Drop dan pensijilan lima bintang SGS Five-Star Overall Drop Resistance Certification yang menjadikan skrin mampu bertahan lebih lama.

Bagi meneruskan trend ini, Honor mengesahkan bahawa generasi baharu untuknya akan tiba di Malaysia. Peranti akan dikenali sebagai X9c 5G dengan tumpuan yang sama terhadap mengimbangi keperluan pengguna, serta menawarkan ketahanan untuk jangka masa panjang. Butiran mengenai spesifikasi dalaman dan tarikh pelancaran masih belum diperincikan buat masa ini. Namun dijangka boleh dikongsikan dalam masa terdekat memandangkan Honor sedia mengacah kehadirannya secara rasmi melalui media sosial rasmi.

Peranti turut dijangka mempunyai persamaan dengan siri X60 baharu yang diumumkan di China tempoh hari. Hal ini demikian kerana trend yang sama turut pernah digunakan Honor pada generasi sebelum ini cuma perbezaan pada penjenamaan dan sejumlah kecil perkakasan dalaman sahaja. Pun begitu dirasakan lebih baik nantikan kemaskini lebih lanjut daripada Honor sendiri berhubung peranti baharu ini.

Untuk rekod, X9b yang diumumkan di Malaysia pada November tahun lalu dikatakan telah mencatatkan jualan menggalakkan dengan lebih 300,000 unit terjual. Secara tidak langsung dilihat mampu bantu mengukuhkan lagi kedudukan Honor di pasaran ini khususnya bagi segmen telefon kelas pertengahan bawah RM1200.
