‘Hormat Tan Sri sebagai tok guru tetapi teguran perlu berasas’

LocalPolitics
4 Nov 2026 • 12:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Hormat Tan Sri sebagai tok guru tetapi teguran perlu berasas’

MELAKA: Mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan ‘dajal’ perlu disertakan dengan hujah lebih kukuh kerana tindakan melabel sedemikian tidak dengan sendirinya menjadikan tuduhan itu berasas.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya menghormati kedudukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin agama dan politik.

Namun, katanya, sebuah perjanjian politik perlu dibuka dokumennya dahulu sebelum dibuka cerita akhir zaman.

“Dengan segala hormat, perbezaan pandangan tentang aturan politik wajar dijawab melalui hujah dan penelitian kandungannya. Label sebesar itu tidak dengan sendirinya menjadikan sesuatu hujah lebih kukuh.

“Kami bersetuju bahawa hasil negara ialah hak seluruh rakyat. Kebajikan rakyat tidak sewajarnya bergantung kepada sokongan politik mereka. Namun, prinsip tersebut perlu dibezakan daripada persoalan kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang bagi menjamin kestabilan pentadbiran,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Adly turut mengingatkan, pada 13 September 2021, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH.

Jelasnya, walaupun dokumen itu berbeza daripada CSA yang diperkatakan sekarang, kerjasama merentas parti demi kestabilan bukanlah perkara yang baru muncul ketika PH menerajui kerajaan.

Ujarnya, malah, ketika itu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kerjasama politik termasuk MoU berkenaan sebagai perkembangan yang boleh membawa manfaat kepada negara dan rakyat.

“Tentulah rakyat berhak bertanya, apakah yang berubah pada prinsipnya atau sekadar kedudukan Pas dalam kerajaan?

“Jika ada fasal CSA yang tidak adil, nyatakan fasalnya. Jika ada hak rakyat dinafikan, kemukakan buktinya. PH Melaka mengalu-alukan teguran yang berasas dan penelitian yang terbuka,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Hormat Tan Sri sebagai tok guru tetapi teguran perlu berasas’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved