Hormati kedudukan Islam

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hormati kedudukan Islam

OGOS merupakan bulan yang signifikan kepada rakyat Malaysia. Ia merupakan bulan kemerdekaan yang menggambarkan kebebasan watan dalam membentuk dan menentukan arah tuju tanah air tanpa memerlukan kita mendapatkan restu mana-mana negara luar.

Definisi patriotisme yang seiring dengan semangat cintakan negara membawa pelbagai makna. Hal ini juga didedahkan sejak dari dahulu di bangku sekolah.

Dalam menonjolkan dan menginsafi semangat patriotis, ia tidak terhad kepada kibaran bendera dan nyanyian lagu-lagu patriotik di corong radio, sebaliknya anak watan perlu memahami kedudukan asas Perlembagaan Persekutuan yang didasari kisah sejarah yang panjang.

Antara elemen yang membentuk negara adalah kedudukan agama Islam di Malaysia yang diangkat sebagai agama Persekutuan.

Ia juga adalah pengetahuan asas bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, meletakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Namun, pada masa sama, klausa yang sama turut menjamin agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Banyak kes-kes perundangan telah membahaskan perkara ini dan perkara ini seharusnya tidak lagi menjadi polemik dan pertikaian.

Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan menepis pandangan bahawa Islam hanyalah agama rasmi negara. Melalui kedudukan ini, membolehkan negara ini melalui Parlimen menggubal undang-undang untuk melindungi kepentingan agama Islam itu sendiri termasuklah menubuhkan institusi dan penggunaan dana awam digunakan bagi tujuan menyediakan ajaran agama Islam atau menyokong pentadbiran agama Islam.

Ini membolehkan penubuhan badan-badan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan mahkamah syariah yang difikirkan perlu.

Perkara ini semua sudah lama diamalkan dalam negara ini tanpa sebarang isu.

Masyarakat berbilang agama juga sebelum ini boleh terima fakta tersebut. Ini mungkin kerana ketika itu pemahaman dan kesedaran masyarakat adalah tinggi bahawa negara ini mempunyai susur galur sejarah yang panjang dan signifikan dalam meletakan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Selain itu, perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama. Agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana kawasan dalam Persekutuan. Bahkan di Malaysia, perayaan-perayaan agama lain disambut dan diberikan cuti am sebagai tanda semangat perpaduan sesama warga negara.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang asing kerana semangat Islam itu sendiri menjamin kebebasan beragama.

Namun begitu, masyarakat bukan Islam pada masa sama perlu menghormati sekatan yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan larangan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam. Selain dari itu, masyarakat bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Hakikatnya tidak sukar untuk hidup dalam sebuah Persekutuan yang agamanya adalah Islam. Tidak timbul penekanan atau penindasan terhadap penganut agama lain.

Malah undang-undang jenayah memberikan perlindungan terhadap kes-kes berkaitan dengan pelecehan terhadap mana-mana agama sebagaimana yang direkodkan di seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan.

Keseriusan badan perundangan menggubal perundangan ini menunjukkan Malaysia melindungi hak beragama warganegara dan tiada siapa boleh memperlekehkan agama.

Oleh yang demikian, janganlah ada pihak yang memperlekeh dan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Janganlah juga diperlekehkan ajaran agama Islam misalnya dalam penekanan amalan bermoral dalam polisi dan perundangan negara.

Sekiranya terdapat umat Islam yang menentang program hedonisme dan tidak bermoral yang tidak mempunyai asas, usahlah mana-mana pihak menuduh masyarakat Islam tersebut kolot, kuno dan primitif. Ini adalah hak bagi umat Islam untuk tinggal dalam negara yang penuh keberkatan ini.

 

Image from: Hormati kedudukan Islam

 

Sehubungan dengan itu, janganlah juga dalam kalangan umat Islam yang bersifat apologetik dengan pengamalan dan pengenalan undang-undang, program ataupun polisi yang berunsur Islamik.

Apologetik dalam konteks ini ialah sentiasa merasa bersalah, meminta maaf, atau bersikap defensif apabila mempertahankan kedudukan Islam dalam undang-undang negara.

Perilaku apologetik ini seolah-olah tidak tahu akan kedudukan Islam itu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Lebih malang lagi hampir tujuh dekad kemerdekaan negara, perasaan ‘bersalah’ ataupun menyalahkan polisi dan perundangan yang berteraskan Islam terus berlaku. Sedangkan kerangka undang-undang watan sendiri melindungi kedudukan dan mengiktiraf keistimewaan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Justeru apa yang perlu diberikan rasa salah dalam mempertahankan fakta dan intipati negara bangsa ini?

Tuntasnya, realitinya kewujudan perkataan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipelihara dan dimartabatkan. Pada masa sama perbuatan menjatuhkan maruah agama Islam oleh penganutnya sendiri juga semestinya tidak boleh dibenarkan termasuklah juga menunggang agama Islam sehingga Islam dipandang negatif.

Mempertahankan kesucian agamai ini termasuklah juga mempertahan dan menghormati institusi Islam seperti majlis-majlis agama Islam negeri-negeri dan mahkamah syariah.

Perbezaan pendapat semestinya dibolehkan pada masa yang sama wujud sempadan jelas antara berbeza dan mencerca, mengkritik dan memaki.

Penguatkuasaan juga perlu serius dan dilihat serius dalam melindungi Islam. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan ahli jawatankuasa pusat Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA).

The post Hormati kedudukan Islam appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved