
SABAK BERNAM, 8 NOV: Penglibatan komuniti menerusi program Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) menjadi antara pendekatan mempromosikan keunikan budaya, warisan dan produk tempatan Sabak Bernam kepada pelancong domestik serta antarabangsa.
Ahli HKSS, Siti Amirah Mohammad Razali berkata minat untuk menjadi pemandu pelancong mendorongnya menyertai program itu sejak setahun lalu bagi memperkenalkan keistimewaan daerah berkenaan kepada pengunjung.
“Pendekatan berasaskan komuniti membolehkan pelancong mengenali budaya, adat dan warisan setempat menerusi perkongsian langsung daripada penduduk yang lebih memahami identiti kawasan berkenaan.

“Antara lokasi dan produk yang boleh diketengahkan di Sabak Bernam termasuk kilang beras tempatan, produk industri kecil dan sederhana (IKS) seperti makanan tradisional masyarakat Jawa dan Banjar serta Melon Selangor (MeloSel),” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut berharap lebih ramai golongan muda menyertai HKSS bagi membantu memperluas promosi pelancongan selain menyokong usaha Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) meningkatkan imej dan taraf ekonomi daerah itu.
Sementara itu, seorang lagi ahli HKSS, Hasni Kassim berkata penglibatannya sejak penganjuran awal Karnival Ban Canal pada 2022 memberi peluang kepada penduduk setempat memperkenalkan lokasi menarik serta produk tempatan kepada pengunjung.
Katanya, pengalaman positif sepanjang menyertai aktiviti jelajah di sekitar Sabak Bernam bukan sahaja memberi kenangan manis kepada pelancong malah mendorong mereka berkongsi pengalaman dengan rakan dan kenalan.

“Apabila pelancong berpuas hati dengan pengalaman sepanjang menyertai aktiviti jelajah, mereka akan berkongsi cerita dan mengajak lebih ramai orang untuk berkunjung ke Sabak Bernam.
“Selain memperkenalkan lokasi menarik dan produk tempatan, aktiviti ini turut menjadi platform mengeratkan hubungan serta memupuk persefahaman antara masyarakat pelbagai bangsa dan negara,” katanya.
HKSS merupakan inisiatif latihan kepada penduduk setempat yang dilaksanakan selama enam bulan pada hujung minggu menerusi modul pelancongan yang disusun khas oleh Tourism Selangor.
Program yang diperkenalkan pada 2018 dengan penyertaan 21 peserta itu diteruskan pada 2019 dengan 30 peserta sebelum meningkat kepada 49 peserta pada 2025 sekali gus menunjukkan perkembangan penyertaan komuniti dalam bidang pelancongan setempat.




