HOS TV AS Sindir Kunjungan Presiden China Ke Malaysia, Gelar ‘Malays’ Tiada Duit [Video]

17 Apr 2025 • 7:16 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Hari ini (17 April), Presiden China Xi Jinping baru sahaja menyelesaikan lawatan selama tiga hari di Malaysia sejak tiba pada 15 April lalu.

Kunjungannya ke Malaysia merupakan yang pertama kali dibuat secara rasmi selepas 12 tahun dan merupakan sebahagian daripada siri lawatan ke tiga negara Asia Tenggara.

Beliau yang telah melawat ke Vietnam sebelum Kuala Lumpur, kini baru sahaja tiba di negara terakhir dalam siri lawatannya iaitu Kemboja.

O’Reilly ‘Kutuk’ Lawatan Presiden China Ke Malaysia

Siri lawatan yang dilakukan oleh Xi ini dijalankan sewaktu China sedang terlibat dalam perang perdagangan bersama Amerika Syarikat dan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Pun begitu, satu klip video yang dimuat naik ke X (@iamjoelee) memaparkan pengulas konservatif dan hos televisyen, Bill O’Reilly, yang seolah-olah mengutuk lawatan Presiden China ke tiga negara Asia Tenggara itu.

“Hey Presiden Xi, biar saya beritahu awak. Mereka tiada duit sama sekali. Mereka tidak boleh bantu awak dan tidak akan beli barang-barangan awak (dari China) kerana tiada sebarang duit.

“Jadi, saya tak tahu mengapa awak ke sana. Mungkin dia cuba membawa masuk barang-barangan China di bawah label Vietnam tetapi perbuatan itu akan didedahkan dengan senang,” katanya.

O’Reilly yang yakin negaranya ‘mempunyai wang’ kelihatan benar-benar bingung dengan siri lawatan Xi di Asia Tenggara itu.

“Kami ada duit. Kami beli barang-barang itu. ‘Malays’ tidak akan beli barang awak (sebab) mereka tiada sebarang wang,” kata O’Reilly dengan yakinnya.

KDNK Malaysia Meningkat Sebanyak 5.1% Pada Suku Terakhir 2024

Namun begitu, adakah benar apa yang dikatakan tentang O’Reilly bahawa ‘Malays’ (yang mungkin sebenarnya dimaksudkan sebagai rakyat Malaysia) tiada duit?

Sebelum meneliti data perdagangan antara Malaysia dan China, permerhatian mudah dapat dilakukan ke atas penggunaan platform beli-belah dalam talian.

Sejak bertahun lamanya, terutamanya dengan kewujudan platfrom berkenaan, rakyat Malaysia telah membeli barang-barangan secara terus dari negara China.

Malah jika diperhatikan di rumah masing-masing, boleh dikatakan sebahagian besar produk yang dimiliki mempunyai label ‘Made In China’.

Sementara itu, laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan bahawa ekonomi negara dinilai sebanyak RM1.93 trilion pada suku tahun terakhir 2024.

Malah, KDNK negara juga menunjukkan peningkatan dari 3.6% pada 2023 ke 5.1% pada 2024.

Di samping itu, pendapatan negara kasar per kapita (purata pendapatan individu di sebuah negara) meningkat sebanyak 3.6% kepada RM54,894.

Perdagangan Malaysia Dengan China Meningkat Pada Awal Tahun 2025

Dari segi perdagangan, data oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menunjukkan bahawa China merupakan pasaran eksport dan import terbesar bagi Malaysia pada Disember 2024.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), perdagangan dengan China yang merangkumi 17.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 4.7% kepada RM41.43 bilion setakat Januari tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu

image is not available

.

MITI juga melaporkan pertumbuhan import dari China sebanyak 9.4% kepada RM28.11 bilion bagi tempoh sama. Import China menunjukkan peningkatan sebanyak 2.7% berbanding Disember 2024.

Ternyata bahawa data-data oleh DOSM, MITI dan MATRADE di atas menyangkal kenyataan O’Reilly tentang Malaysia tidak mempunyai wang.

Platform Dalam Talian China Tawar Harga Lebih Murah

Seperti yang dinyatakan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa banyak barangan dibeli oleh rakyat Malaysia menerusi platform dalam talian China.

Malah pada tahun 2022, China menyumbang sebanyak 61% dari jumlah transaksi e-dagang rentas sempadan Malaysia, menjadikannya negara sumber utama dengan margin yang besar.

Masyarakat Malaysia kemungkinan besar akan terus membuat pembelian produk dari China disebabkan pelbagai faktor.

Sebagai contoh, banyak barangan yang dibeli dari China menerusi platform dalam talian seperti Taobao dan AliExpress yang menawarkan pelbagai produk di samping harga lebih murah.

Selain itu, pertumbuhan perdagangan mudah alih (mobile commerce), pilihan pembayaran tempatan, dan logistik yang lebih baik memudahkan proses pembelian di platform-platform sedemikian.

Malah, latar belakang budaya juga terutamanya ketika musim perayaan seperti Tahun Baru Cina meningkatkan permintaan bagi barangan yang diperbuat di China.