Hospital Ar-Ridzuan labur RM594,000 buka wad baharu, beli kelengkapan tingkatkan perkhidmatan kepada pesakit

24 Jun 2024 • 11:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hospital Ar-Ridzuan labur RM594,000 buka wad baharu, beli kelengkapan tingkatkan perkhidmatan kepada pesakit

zakisalleh

24/06/2024 - 11:38

IPOH 24 Jun - Hospital Ar-Ridzuan memperuntukkan pelaburan kira-kira RM594,000 bagi meningkatkan kemudahan dan rawatan yang disediakan kepada pesakit.

Daripada jumlah itu sebanyak RM499,000 untuk membeli mesin laparoskopik bagi menambah perkhidmatan dan meningkatkan jumlah kes pembedahan.

Sebanyak RM95,000 pula diperuntukkan bagi pembukaan wad baharu melibatkan penambahan 6 katil pesakit.

Pengurus Besar Hospital Ar-Ridzuan, Umaisalmah Nawawi berkata, pembukaan wad di tingkat 6 itu berikutan bilangan katil sedia ada tidak mencukupi untuk menampung peningkatan pesakit pada satu-satu masa.

image is not available
Amirul Hakim (kiri) bersama Pengarah Perubatan Hospital Ar-Ridzuan, Dr Mohamad Salleh Abdul Aziz (tengah) dan Umaisalmah (kanan) semasa merasmikan pembukaan wad baharu Hospital Ar-Ridzuan di Ipoh.


Katanya, sejak Mac lalu jumlah pesakit yang diterima meningkat menyebabkan pihak pengurusan memutuskan pembukaan wad baharu.

“Ruang di tingkat 6 bangunan hospital memang ada cuma sebelum ini ia tidak diaktifkan.

“Pembukaan wad dengan tambahan 6 katil pesakit menjadikan keseluruhan bilangannya meningkat 15 katil. Jumlah ini tidak termasuk katil di wad ortopedik.

“Wad baharu ini mempunyai 1 bilik standard seorang, 1 bilik seorang deluxe dan 2 bilik untuk 2 pesakit.

“Dengan penambahan ini Hospital Ar-Ridzuan dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang lebih baik,” ujarnya.

image is not available
Amirul Hakim semasa melawat wad baharu Hospital Ar-Ridzuan.

image is not available

Beliau ditemui semasa majlis perasmian wad baharu tersebut yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn. Bhd., Amirul Hakim Abdullah.

Kadar harga bagi bilik di wad baharu ini ialah antara RM190 hingga RM260.

Wad baharu ini juga akan dijadikan wad perubatan dan pembedahan bagi menempatkan pesakit dalam di bawah kes-kes perubatan dan pembedahan am.

Menurut Umaisalmah, bagi pembelian kelengkapan baharu iaitu mesin laparoskopik, ia telah pun diluluskan oleh pihak pengurusan bagi menambah perkhidmatan dan meningkatkan jumlah kes pembedahan.

Katanya, ini juga dalam usaha untuk terus memacu perkhidmatan hospital ke arah yang lebih baik. - DagangNews.com