KAMPAR – Kejadian kebocoran serius di Hospital Kampar menyebabkan petugas kesihatan terpaksa menggunakan payung bagi melindungi pesakit di dalam wad.
Perkara itu dikongsikan pengguna media sosial yang menyaksikan sendiri suasana berkenaan apabila air hujan menitis di dalam wad selain beberapa kali gangguan elektrik menyebabkan peralatan perubatan seperti mesin ventilator turut terjejas.
Perkongsian di aplikasi Threads oleh Cloverushakhmar menjelaskan situasi cemas itu berlaku ketika dia turut menerima rawatan di hospital sama malam semalam.
"Pengalaman warded kat sana (Hospital Kampar). Asal kilat sikit pun akan trip (elektrik terhenti), kejap-kejap blackout. Dari wad wanita sampai wad kanak-kanak pun sama.
"Seriau sebab ada yang pakai mesin ventilator semua. Itu belum lagi komer (kamu) tengok air atas koridor. Mana demer (mereka) nak cepat uruskan pesakit, mau jatuh terlentang," katanya dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, kejadian yang tular di media sosial sejak malam Sabtu diakui berpunca daripada kerosakan struktur bumbung akibat hujan lebat berserta angin kencang luar biasa yang melanda kawasan hospital berkenaan.
Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Kampar, Ahmad Fauzi Sulaiman berkata, hasil lawatan dan pemeriksaan yang dilakukan pada pagi Ahad mendapati beberapa bahagian rabung bumbung hospital telah diterbangkan angin sehingga menyebabkan air hujan memasuki ruang rawatan.
**media[3531468]**
Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan kebocoran serius terutama di Unit Kecemasan dan Trauma sekali gus menjejaskan operasi rawatan di beberapa lokasi dalam hospital berkenaan.
"Hospital Kampar merupakan bangunan lama yang dibina sekitar 1950 dan faktor usia menyebabkan banyak struktur mengalami proses pereputan serta kehausan semula jadi.
"Selain itu, kedudukan rabung bumbung yang terlalu tinggi turut menyukarkan kerja penyelenggaraan serta pemantauan dilakukan secara berkala,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Ahmad Fauzi berkata, susulan kejadian itu beberapa pesakit termasuk di Wad Lelaki telah dipindahkan ke kawasan lebih selamat bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap keselamatan dan keselesaan mereka.
Tambahnya, beberapa peralatan pejabat turut mengalami kerosakan akibat terkena air, termasuk sebuah komputer desktop dan dua unit pencetak.
Dalam pada itu, Ahmad Fauzi memuji tindakan pantas petugas kesihatan hospital yang tetap komited menjalankan tugas walaupun berdepan situasi mencabar.
Katanya, gambar tular memaparkan seorang jururawat memayungi pesakit yang sedang menerima rawatan intubasi jelas menggambarkan dedikasi tinggi petugas kesihatan dalam memastikan keselamatan pesakit terus terpelihara.
“Pihak teknikal telah mencadangkan pembinaan wad kecemasan sementara berbentuk Emergency Field Ward di kawasan parkir hospital, namun cadangan itu melibatkan kos yang agak tinggi.
“Buat masa ini, pihak hospital mengambil pendekatan menggunakan segala kemudahan sedia ada dengan melaksanakan pembaikan segera di kawasan terjejas bagi memastikan operasi rawatan diteruskan serta mengutamakan keselamatan pesakit dan kakitangan,” katanya.
Menurutnya, permohonan rasmi bagi kerja pembaikan dan naik taraf fasiliti hospital telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.
Beliau berharap permohonan tersebut dapat diberi perhatian segera bagi memastikan Hospital Kampar terus mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti kepada masyarakat setempat.

