Hospital Kapar dijangka siap Mac 2027, legakan penduduk Klang Utara

LocalHealth & Fitness
10 Jun 2026 • 9:56 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hospital Kapar dijangka siap Mac 2027, legakan penduduk Klang Utara

SHAH ALAM, 10 JUN: Projek pembinaan Hospital Kapar dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan, sekali gus memberi kelegaan kepada ribuan penduduk di Kapar, Meru dan kawasan sekitar yang bakal menikmati akses lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan awam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid berkata perkara itu dimaklumkan menerusi lawatan pemantauan tapak yang dilakukan bagi memastikan projek berkenaan berjalan mengikut jadual dan spesifikasi ditetapkan.

"Alhamdulillah, projek Hospital Kapar menunjukkan perkembangan yang sangat baik dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027.

"Sudah tentu berita ini memberi kelegaan kepada penduduk sekitar Kapar dan Meru yang telah lama menantikan kemudahan kesihatan awam baharu bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin bertambah," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata pembinaan hospital itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem kesihatan awam serta menyediakan kemudahan perubatan yang lebih berkualiti kepada rakyat.

Menurutnya, hospital sedia ada di kawasan berhampiran kini berdepan tekanan akibat peningkatan jumlah pesakit susulan pertambahan penduduk yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Hospital berhampiran ketika ini semakin sukar menampung jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan.

"Justeru, pembinaan Hospital Kapar amat penting bagi mengurangkan kesesakan, memperluas akses rawatan dan meningkatkan keselesaan pesakit," katanya.

Taklimat serta lawatan tapak projek itu diketuai Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) selain turut disertai Pegawai Daerah Klang Amri Ismail, wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan IJM selaku pemaju utama projek.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved