

SELAYANG, 28 JULAI: Kerajaan Selangor melalui Selgate Corporation membina Hospital Pakar Selgate Rawang yang menjadi institusi kesihatan swasta pertama dibangunkan di negeri itu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, hospital yang menelan kos RM150 juta itu siap dibina sepenuhnya dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
“Kita sedang menunggu kebenaran Kementerian Kesihatan untuk beroperasi dan mereka akan datang untuk melakukan inspection (pemeriksaan).

“Sebagai permulaan, hospital menyediakan 60 katil, selengkapnya hingga 200 katil menjelang 2027.
“Alhamdulillah ia merupakan hospital pertama yang dibangunkan institusi negeri secara langsung melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 2018,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, Amirudin turun padang membuat tinjauan ke hospital swasta itu bagi melihat sendiri hospital berkenaan.
Amirudin turut diberi taklimat oleh pasukan pengurusan Selgate Corporation diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Noor Hisham Mohd Ghouth.
Dato’ Menteri Besar turut meninjau seluruh fasiliti sambil meluangkan masa berinteraksi dan beramah mesra dengan kakitangan hospital.


The post Hospital pakar swasta pertama negeri Selgate Rawang sedia beroperasi appeared first on Selangorkini.


