Hospital Papar baharu siap hujung tahun

9 Apr 2023 • 1:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Lebih 100,000 penduduk di daerah ini serta kawasan sekitar bakal menikmati kemudahan dan perkhidmatan kesihatan terbaik dan lebih selesa sebaik projek menaik taraf Hospital Papar, di sini, siap menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata projek biayaan Persekutuan bernilai RM98.5 juta itu berada pada tahap kerja 62 peratus, ketinggalan di belakang jadual, kerana ia sepatutnya 70 peratus ketika ini.

Beliau berkata projek itu yang bermula pada Mei 2017 mengalami kelewatan disebabkan faktor kekurangan tenaga kerja serta bahan pembinaan, selain pandemik Covid-19 yang menyebabkan tiada pembinaan selama tiga tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata punca kelewatan ini dijangka ditangani, dan projek dipacu sehingga siap menjelang hujung tahun ini serta mula beroperasi pada Mac tahun depan.

“Projek menaik taraf Hospital Papar ini adalah bukti Kerajaan sentiasa

komited untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kesihatan untuk kesejahteraan rakyat di Sabah, khususnya di daerah ini.

“Dengan itu, apabila siap, Hospital Papar akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk di daerah sini serta kawasan sekitar bagi mendapatkan rawatan serta perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan lebih selesa. Ia berita baik untuk penduduk Papar,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ke tapak projek dan menghadiri taklimat oleh Jabatan Kerja Raya, di sini, Sabtu.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib, Pengarah Yayasan Sabah merangkap Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Adun Limbahau Datuk Juil Nuatim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Norhayati Rusli, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin dan Pengarah Pembangunan Sabah Samsul Dollah.

Dr Zaliha berkata projek itu diluluskan dengan kos keseluruhan RM98.5 juta membabitkan kerja pembinaan serta peralatan perubatan dan bukan perubatan. Daripada jumlah itu, RM84 juta adalah kos kontrak untuk pembinaan sahaja.

“Ia melibatkan pembinaan wad dengan tambahan 84 katil merangkumi wad pediatrik, wad wanita dan lelaki, menjadikan jumlahnya 161 katil.

“Selain itu perkhidmatan disediakan termasuk kecemasan dan trauma, pengimejan (X-Ray), farmasi satelit, dewan pembedahan, antara lain,” katanya.

Beliau berkata Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar akan turut memantau pelaksanaan projek itu.

Daripada 12 “projek sakit” di bawah Kementerian Kesihatan di seluruh negara, Dr Zaliha berkata terdapat tiga di Sabah iaitu Hospital Papar, Hospital Beaufort dan KK5 (Klinik Kesihatan) Sikuati, sementara selebihnya terletak di Semenanjung dan Sarawak.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.