
KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) di sini sedang mengesan waris jenazah lelaki bernama Alui Sabadilah berbangsa Bugis yang masih belum dituntut.
Pengarah QEH II Dr Ferro Firdaus Ibrahim berkata Alui, 63, meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu pada 6.40 pagi, 25 Feb lepas.
Beliau berkata alamat terakhir si mati mengikut kad pengenalannya adalah di Kampung Kawang, Papar.
“Sehingga kini, belum ada waris datang menuntut jenazah berkenaan. Jenazah telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik QEH II,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai si mati ataupun waris diminta menghubungi Jabatan Perubatan Forensik QEH II melalui talian 088-234600 sambungan 4000/4001. -Bernama
