
TAWAU: Hospital Tawau bakal menjadi fasiliti kesihatan kerajaan pertama di Pantai Timur Sabah yang mengenakan caj parkir apabila sistem parkir berbayar di 1,000 petak dijangka mula beroperasi hujung tahun ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui menegaskan kawasan parkir itu bukan milik hospital atau kerajaan, sebaliknya milik pihak swasta yang bertujuan menangani kekurangan parkir dan meningkatkan keselamatan.
Beliau berkata kawasan parkir itu dibangunkan hampir tiga tahun lalu bagi menangani keluhan orang ramai, hasil perbincangan dan kerjasama dengan pemilik tanah, sebelum diserahkan kepada Persatuan Kakitangan Hospital Tawau untuk diuruskan.
Katanya, memandangkan kawasan parkir itu bukan di bawah pengurusan Hospital Tawau, pihak hospital tidak menerima peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kerja pembersihan dan penyelenggaraan keselamatan.
Lo berkata keadaan itu menimbulkan pelbagai masalah apabila ruang parkir disalahgunakan, dengan dianggarkan 30 hingga 40 peratus petak digunakan setiap hari oleh mereka yang tidak berurusan di hospital, termasuk meletakkan kenderaan secara ‘carpool’ sebelum bergerak ke destinasi lain.
Malah, katanya, aspek keselamatan turut menjadi kebimbangan susulan kejadian kecurian dan pecah masuk kenderaan serta tayar dibocorkan yang pernah dilaporkan.
“Selain itu, keselamatan kakitangan hospital, khususnya mereka yang pulang lewat malam, turut diberi perhatian serius berikutan insiden gangguan, termasuk digigit anjing liar akibat sampah-sarap yang bertaburan di kawasan parkir berkenaan,” katanya.
Menurutnya, situasi itu menunjukkan keperluan untuk melaksanakan pengurusan parkir yang lebih sistematik bagi memastikan kawasan berkenaan bersih, teratur dan selamat.
Justeru, beliau berharap sistem parkir berbayar yang bakal dilaksanakan pihak swasta itu dapat menyelesaikan masalah berbangkit demi kesejahteraan pengunjung, pesakit dan kakitangan Hospital Tawau.
Lo berkata kadar caj yang bakal dikenakan difahamkan bukan bersifat keuntungan, malah antara yang terendah di negara ini berbanding kadar yang dikenakan sesetengah konsesi parkir hospital di Semenanjung Malaysia.
Pada masa sama, katanya, golongan yang benar-benar tidak berkemampuan atau terbeban dengan bayaran itu boleh memohon pengecualian caj dengan menghubungi pihak pengurusan parkir.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Tawau Dr Azman Ibrahim berkata aspek kebersihan, kecukupan petak parkir serta keselamatan nyawa dan harta benda kakitangan dan pengunjung menjadi pertimbangan utama dalam cadangan pelaksanaan parkir berbayar itu.
Ketika ini, palang parkir telah dipasang di pintu utama keluar masuk kawasan berkenaan, manakala kerja menaik taraf, termasuk pemasangan lampu, akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata pelaksanaan parkir berbayar itu dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna, selain memastikan kebajikan kakitangan serta orang ramai terus diberi perhatian.
Seorang pengguna, Haris @ Mohd Janani, 50, dari Semporna, pula bersetuju dengan pelaksanaan caj parkir di Hospital Tawau sekiranya langkah itu bertujuan meningkatkan keselamatan.
