Hospital Thomson Kota Damansara rai 'Pink Oktober' tingkatkan kesedaran kanser payudara

Health & Fitness
26 Oct 2023 • 11:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hospital Thomson Kota Damansara rai 'Pink Oktober' tingkatkan kesedaran kanser payudara

zulfadli

26/10/2023 - 11:48

KUALA LUMPUR 26 Okt - Kanser payudara mencatatkan kekerapan diagnosis kanser baharu lebih tinggi berbanding kanser paru-paru di seluruh dunia pada 2020 manakala di Asia sahaja, ia merekodkan 22.9% kes baharu.

Tambahan pula, lebih ramai wanita di Asia meninggal dunia akibat kanser payudara berbanding keseluruhan rantau lain di dunia. Di Malaysia, seorang daripada 20 wanita disahkan menghidap kanser payudara yang menjadikan 23 kes baharu setiap hari.

Statistik ini seharusnya membimbangkan sehubungan itu, Pink Oktober di Hospital Thomson Kota Damansara (THKD) bukan sekadar acara tahunan namun ia menyediakan rumasan kepada situasi ini.

Sepanjang bulan ini, THKD memberi tumpuan terhadap pemerkasaan ilmu dan menghulurkan harapan menerusi pelbagai inisiatif Pink Oktober.

Antaranya termasuk acara kumpulan sokongan "Look Good Feel Better" bagi pesakit kanser, pemeriksaan payudara dan sesi perundingan, tutorial pemeriksaan sendiri payudara, pemeriksaan kesihatan asas dan pemberian hadiah.

Dalam usaha meningkatkan pendidikan, pakar perunding mengadakan pertemuan dengan pengamal media untuk menyebarkan maklumat mengenai pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit.

image is not available
Nadiah Wan

Membicarakan tajuk kanser payudara dalam kalangan wanita muda, Perunding Pakar Bedah Payudara & Onkoplastik THKD, Dr Tan Gie Hooi berkata, walaupun kanser payudara biasanya dikaitkan dengan usia, peningkatan kes yang membimbangkan dalam kalangan wanita muda menekankan keperluan untuk pengesanan dan diagnosis awal.

"Wanita sering menjadi tulang belakang keluarga, menguruskan diagnosis kanser sambil menjalankan peranan sebagai ibu, anak perempuan dan profesional sememangnya sangat mencabar.

"Justeru, sokongan dan rumusan onkoplastik kami memastikan setiap wanita diperkasakan untuk menghadapi cabaran ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Perunding Pakar Bedah Payudara, Endokrin, & Am THKD, Dr Zamzuri Zakaria berkata, di era maklumat yang berlebihan ini, salah faham mengenai kanser payudara boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan, sama seperti penyakit itu sendiri.

image is not available
Dr Tan Gie Hooi

"Dengan mengetepikan mitos dan melengkapkan diri dengan fakta dan tindakan sewajarnya, kami memperkasakan individu untuk membuat keputusan bijak mengenai kesihatan mereka," katanya.

Pakar Pemakanan THKD, Ginny Tan Gin Wei menjelaskan lebih lanjut, yang mana makanan ialah ubat.

"Pink Oktober merupakan peluang keemasan untuk memberi penekanan kepada kesan pemakanan dalam mengurangkan risiko kanser payudara.

"Kami memperkasakan individu dengan pengetahuan untuk membuat pilihan pemakanan yang menyihatkan dan melindungi badan. Pemakanan yang betul merupakan perkara penting dalam pencegahan kanser payudara dan mengurangkan risiko berulang, dan kami berazam untuk membantu semua," katanya.

image is not available
Dr Zamzuri Zakaria

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif THKD, Nadiah Wan berkata, Pink Oktober atau Bulan Kesedaran Kanser Payudara menjadi peringatan yang baik untuk menimba pengetahuan mengenai kanser payudara, cara mengurangkan faktor risiko diri sendiri dan mereka yang tersayang serta kepentingan menjalani pemeriksaan untuk pengesanan awal.

Katanya, THKD menawarkan rangkaian lengkap perkhidmatan kesihatan wanita, menyediakan penjagaan khas untuk wanita dalam pelbagai disiplin perubatan termasuk obstetrik dan ginekologi, onkologi, serta pembedahan payudara dan onkoplastik.

"Visi THKD adalah membantu masyarakat menjalani kehidupan yang lebih sihat dengan menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan tertiari mudah diakses, bertanggungjawab, dan mampan manakala misi kami adalah untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang paling lengkap buat wanita dan kanak-kanak," katanya.

Menurut Nadiah, Perubatan Onkologi dan Nuklear @ Hospital Thomson menyediakan keupayaan diagnostik dan terapeutik untuk pesakit kanser. Kemudahan ini menempatkan Mediso AnyScan SPECT/CT/PET, iaitu peralatan pengimejan perubatan nuklear Tri-modaliti yang pertama di rantau Asia Pasifik.

Katanya, Perubatan Onkologi & Nuklear @ Hospital Thomson direka untuk menyediakan semua modaliti rawatan kanser di bawah satu pusat kemudahan bagi menyediakan penjagaan pelbagai disiplin dengan pengalaman terbaik sepanjang perjalanan pesakit.

"Kami bekerjasama dengan NGO dan kumpulan sokongan pesakit kerana kami memahami bahawa diagnosis kanser tidak hanya memberi kesan kepada pesakit, tetapi juga keluarga, rakan-rakan, dan masyarakat sekeliling mereka," tambahnya.

Kemudahan itu telah menjalankan lebih daripada 2,600 prosedur diagnostik dan terapeutik dalam kalangan pesakit kanser yang melibatkan serviks, payudara, paru-paru, rektum, kepala, leher, dan otak.

Pasukan radioterapi juga telah merawat pesakit kanser payudara menggunakan teknik 'Deep Inspiration Breath Hold' (DIBH), dan kanser otak dengan radioterapi dan radiasi craniospinal (CSI).

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari thomsonhospitals.com atau ikuti THKD di media sosial. - DagangNews.com