Hospital UTAR Bukti Sikap Dermawan Rakyat Malaysia - Kalimullah

LocalBusiness & Finance
19 Feb 2025 • 8:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Hospital UTAR hari ini - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Pembukaan rasmi Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar, Perak hari ini adalah bukti sikap dermawan rakyat Malaysia. 

Tokoh korporat, Datuk Seri Kalimullah Hassan berkata, perkara itu jelas terbukti menerusi pembinaan hospital terbabit yang sepenuhnya menggunakan dana hasil sumbangan orang ramai. 

Menurut beliau, seorang daripada dua penyumbang utama ialah ahli perniagaan tempatan iaitu Brahmal Vasudevan.

“Dua penyumbang ini, seorang daripada mereka ialah ahli perniagaan Indonesia, Low Tuck Cheong boleh dikatakan jarang muncul di khalayak ramai. 

“Sejak memulakan operasi tahun lalu, hospital UTAR menyediakan rawatan konvensional dan tradisional pada harga yang amat berpatutan " katanya menerusi hantaran di Facebook. 

image is not available
Kalimullah Hassan - Gambar Facebook

Difahamkan, hospital terbabit sejak ditubuhkan telah merawat lebih 100,000 pesakit dari Perak dan negeri sekitar.

Kalimullah berkata, beliau selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan UTAR amat berbesar hati dapat bertemu muka dengan individu hebat seperti Tuck Cheong dan penderma lain. 

“Saya dan rakan perniagaan menerusi Yayasan ECM Libra milik kami berdua terbabit dalam pelbagai program pendidikan di UTAR sejak 20 tahun lalu, tapi semuanya tidak mampu menyaingi kehebatan Tuck Cheong dan Brahmal. 

“Kami hanya mampu mengucapkan setinggi terima kasih kepada ribuan penderma yang menjadikan pembinaan UTAR ini satu kenyataan dan melahirkan lebih 200,000 graduan sejak ia ditubuhkan. Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa anda semua,” katanya.

Terdahulu Bernama melaporkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menyempurnakan majlis perasmian hospital tersebut. 

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Lembaga Hospital UTAR Emeritus Profesor Tan Sri Dr Chuah Hein Teik.

Dalam sembah ucapannya, Chuah berkata, pada 2014, pengerusi majlis UTAR ketika itu Tun Dr Ling Liong Sik mengumumkan pelan untuk menubuhkan hospital latihan pakar di UTAR Kampar.

Hospital yang terletak dalam Kampus UTAR Kampar itu, bukan sahaja mempunyai persekitaran luas malah kedudukannya yang strategik memberikan akses kepada komuniti berhampiran, termasuk dari Ipoh, Gopeng, Tapah, Proton City, Tanjung Malim, Teluk Intan, Cameron Highlands dan Malim Nawar. - Getaran, 19 Februari 2025