MELAKA – Sebuah hotel di Malim Jaya yang sebelum ini terpalit kontroversi iklan ‘mesra gay’ telah dibenarkan beroperasi semula selepas mematuhi semua syarat yang ditetapkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Yang Dipertuanya, Datuk Sapiah Haron berkata, pihak pengurusan hotel telah hadir ke MPHTJ selepas dipanggil bagi memberi penjelasan selain menurunkan iklan berkenaan lebih awal sebelum diarahkan berbuat demikian.
Menurutnya, lesen perniagaan hotel itu sebelum ini ditahan sementara dan beberapa syarat tambahan dikenakan sebelum ia dibenarkan beroperasi semula.
“Selepas mereka mematuhi semua syarat yang ditetapkan, kita telah meluluskan semula lesen berkenaan.
“Bagaimanapun, pemantauan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramadan Berkat MPHTJ bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Melaka Mall pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie.
Sebanyak 2,000 pek bubur kacang dan pulut hitam serta pek Mamee diedarkan kepada pengguna jalan raya sempena program berkenaan.
Sapiah berkata, pemilik hotel memaklumkan kecuaian iklan ‘mesra gay’ itu berlaku susulan penggunaan khidmat dari luar negara untuk mengendalikan laman sesawang berkenaan.
“Walau apa pun alasannya, kita telah meminta supaya ia diturunkan dan pihak MPHTJ sendiri membuat semakan bagi memastikan arahan itu dipatuhi.
“Setakat ini, hotel terbabit beroperasi seperti biasa dan iklan kontroversi itu telah dipadamkan, selain pemantauan berterusan akan dilakukan,” katanya.
Pada Januari lalu, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyiasat dakwaan terhadap hotel berkenaan yang didakwa mempromosikan konsep ‘mesra gay’ selepas isu itu tular di media sosial.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran pendakwah bebas, Firdaus Wong yang membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’.
Susulan itu, MPHTJ bersama JAIM telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis terbabit dan mengarahkan operasinya ditutup sehingga pemilik tampil memberikan penjelasan.
