Hotel Kalifornia | cerpen

Opinion
7 Aug 2024 • 10:00 AM MYT
Amier Suhaimi
Amier Suhaimi

Amier Suhaimi is a Malaysian author. Wrote stories, plays, and essays.

image is not available
Lukisan Sad tidings oleh Walter William Ouless (English, 1848-1933), domain awam. Kredit Imej: Artvee.com

"Ahmat cinta Tini sepenuh hati!" Luah Ahmat dan Tini percaya bulat-bulat kata pasangannya yang dia kenal lewat pengajian dia kampus tahun lalu.

"Tini pun cinta Ahmat sepenuh hati!" Balas Kartini bersungguh-sungguh! Ahmat wajar dijadikan pasangan hidup, serasa dia. Di depannya, lelaki itu tampil mesra, berbudi, kemas dan pintar.

"Tapi Tini, sayang, kita payah nak hidup bersama. Tini faham, kan? Agama kita berbeza dan... dan... walaupun Ahmat cinta sama Tini... tapi Ahmat tak nak korbankan kepercayaan Ahmat..." Ahmat beri alasan.

Tapi resam orang sudah sayang, kerana kasih dia mampu korban segala. Ibaratnya, seorang mak pun sanggup buang anaknya kerana kejar kasih kekasih.

Tatkala Ahmat meluahkan, seluruh dunia seakan diam memberi ruang pasangan berfikir. Tini memutuskan, "Baik. Tini faham. Kalau macam tu, biar Tini yang berkorban."

Kerana kasih, manusia boleh buat benda yang diluar jangka! Kerana kasih Tini korbankan. Tini menetapkan: buang saudara, buang agama, kerana tagih kasih Ahmat dia turutkan.

Ahmat tampak baik: tidak minum, tidak berjudi! Kuat ilmu agamanya kerana Tini tahu kegemaran Ahmat adalah ke Masjid, tonggang-tunggik sembah Tuhannya dan duduk bersama-sama kenalan berbincang-bincang hal agama-semasa.

"Ah, dengan Ahmat pasti hidup bahagia! Pasti!" Yakin Tini. Bersungguh-sungguh.

***

"Serius kau nak masuk Islam?" Soal rakan Tini sambil kacau segelas air dengan straw plastik. Jelas riak wajah terperanjat. Tini angguk mengiyakan.

Disoalnya lagi: "Serius? Kalau masuk tak boleh keluar balik, darah kau jadi halal!"

"Kerana kasih, hamba turutkan!" Balasnya. Kemudian ketawa kecil. Rakannya yang duduk bertentangan kekal dalam lingkungan keseriusan.

"Cehh... aku ni bukan apa, Tini. Kau tahulah kan yang ramai orang sekarang nak keluar. Antaranya kenalan-kenalan aku lah! Tapi semua tu berlaku ada sebablah. Kalau angin tak ada, macam mana pokok nak bergoyang, kan? Kalau dah agama tu mengikat, mengurung, siapa aje yang minat? Agama patut memerdekakan dan kalau tidak memerdekakan, buat apa anuti agama tu lagi?"

Tini mendengar, entah mengerti entahkan tidak. Entah masuk telinga kanan tak keluar-keluar, entahkan tidak. Rakannya, usai membasah tekak dengan segelas air, terus lanjutkan ucapnya; "... Ramai nak keluar, kau pula... nak masuk?"

"Iya, nak masuk."

"Ohoooo... tak ada masalah. Tak ada masalah. Cumanya kena beringat, orang sini bukan betul sangat. Mula-mula kau masuk memang mereka gemarkan sampai basah. Kalau kau keluar... kau rasalah azabnya nanti. Mayat kau pun akan direbutkan gamaknya. Silap-silap kau boleh masuk tabloid murahan dengan tajuk menggambarkan kau manusia paling teruk dekat dunia ni! Lagi teruk daripada yang merompak wang rakyat tapi seagama!"

Topik bertukar. Ada beberapa mata memandang rasa tidak enak dan Tini tak mahu keputusannya--untuk tukar kepercayaan itu--terganggu.

Seminggu kemudian, Tini selamat masuk Islam. Sudah boleh jadi Melayu!

***

Berita Tini masuk Islam agak tular dan ramai yang dia kenal dan tidak kenal datang menghurung bertanya itu-ini dalam kebasahan. Sudah tentu, jumlah penganut sudah ramai. Biarlah dalam keramaian itu kualitinya rendah asalkan ramai, tak gitu?

Dalam keramaian itu, sempat dia menangkap beberapa soalan, antaranya: "Bagaimana boleh terdetik memeluk Islam?"

Gadis itu cuma senyum saja. Serba salah sebenarnya. Takkanlah mahu jujur mengatakan dia cuma memeluk Islam semata-mata untuk Ahmat, kan? Dan sudah tentu dia takkan beritahu kumpulan manusia yang menghurungnya itu yang dia masuk Islam kerana didatangi, disuruhi seorang lelaki dalam mimpinya. Itu tidak berjaya kerana, yang pertama, dia tak punya zakar dan, keduanya, itu tidak waras!

Soalan kedua dia berjaya tangkap: "Tudung mana tudung?"

Tini membalas dengan ketawa dibuat-buat saja.

"Tudung mana tudung?"

"Emmmm... saya lupa... nanti saya pakai."

"Awak Islam. Kena pakai tudung. Tuhan marah. Kalau saya rogol awak nanti, macam mana? Haa... lain kali, kalau di luar kena pakai tudung."

"B-baik. Baik."

Melayan karenah manusia bikin dia penat.

Sedang dia enak di perbaringan di atas tilam empuk rumah, rakannya menggegar hatinya dengan kejutan.

"Teman lelaki kau, kan? Ini Si Ahmat, kan?" soalnya lewat kiriman mesej berserta beberapa foto tangkap layar. Tini renung lama-lama dan dihadamnya setiap satu tangkap layar.

"Sial apa ni?"

"Aku minta maaf Tini. T-tapi kau kena tahu!"

"Sial apa ni, lahanat?!"

"M-maaf, Tini! Aku tak nak kau terseksa nanti."

"What the fuck is happening right now?!"

Foto-foto direnung lama itu berupa tangkap layar beberapa pengguna medsos perempuan tentang kelakuan Si Ahmat. Tanpa Tini sedar, dalam kerap ke masjid tonggang-tonggek sembahyang dan turut serta perbincangan hal agama-semasa, kekasihnya Ahmat buat hal tak senonoh di atas talian.

Ada tangkap layar luahan perempuan-perempuan diganggu Ahmat. Ada tangkap layar perbualan ajak berhubungan badaniah dan yang paling sukar diterima adalah foto kalam milik kekasih yang dah disensor itu disertakan juga!

"Sial apa ni? Bangsat apa ni?" Hanya itu yang Tini mampu ungkapkan untuk sisa hari itu.

***

Dengan Ahmat buatnya sedar betapa yang konon tampil dan mengaku baik itu belum tentu padan dengan sifat sebenarnya. Ekoran kejadian yang baru dia ketahui sebelum ini, Tini fikir mahu keluar Islam dan kembali kepada agama asalnya.

Permohonan di mahkamah tinggi syariah sudah dia failkan tetapi malang (sudah diketahui) apa yang dia hajatkan sangat itu ditolak begitu saja. Bukan itu semata, dia juga turut diperintah jalani sesi kaunseling selama beberapa bulan.

"Kaunseling? Kaunseling apa? Sesi cuci otak ke? Bukan ke bila kau tak percaya Tuhan mereka, utusan mereka, kau bukan dalam kalangan mereka? kenapa masih nak sekat aku daripada keluar? Kenapa ramai sokong aku tak dapat keluar?" Tini mengeluh. Tiada dapat balasan. Rakannya sudah maklumkan awal sebelum dia mengambil langkah ini.

Seorang agamawan menemuinya. Lelaki itu berkopiah, memakai sweater hitam, tidak terlalu tua dan bercermin mata. Menurutnya, "Kita di Malaysia ni berpegang kepada mazhab Shafii, Tini. Sepatutnya, sebelum kamu masuk Islam, kamu kena faham yang kalau sudah Islam, kamu tidak boleh bertukar kepada agama asal. Tak boleh tu, Tini. Itu yang dipegang ajaran seorang manusia bernama Shafii."

"Tapi, ustaz-ustaz di luar kata-"

"Mereka kata lain tapi pandangan mereka tak diterima di sini, Tini. Ya, memang pendakwah-pendakwah Islam dari luar mengatakan yang dalam Islam tiada paksaan beragama tapi ia tak terpakai di sini, Tini."

"Tapi, hak asasi sa-"

"Kamu kena faham, Tini, yang tak semua negara Islam terima konsep hak asasi manusia."

"Tapi... ini bukan negara Islam! Cuma agama rasminya yang-"

"Cukup! Kalau tak ada apa-apa lagi, sila beredar ya, Cik Tini. Saya ada banyak urusan penting lagi nak diselesaikan."

Tini bingkas bangun dan cepat-cepat melangkah, menghentak-hentak kakinya seperti mahunya dia menghentak-hentak muka agamawan itu dengan tumit kasutnya, ke daun pintu.

"Lagi satu..."

Tini melemparkan semula pandangannya, yang kini tajam, kepada lelaki berkopiah, berjaket hitam itu.

"Lain masa, tudung jangan lupa pakai ya. Ingat, kamu sudah Islam. Berdosa, tahu. Tak perlu tayang-tayang rambut kamu tu. Kalau kena rogol nanti, macam mana?" Dia berhenti sekejap memperbetulkan kopiahnya lalu menyambung lagi, "Kena beringat! Bila kamu telah memilih agama Islam, kamu harus terima agama Islam sepenuhnya termasuklah apa yang dah diputuskan para ulama. Kena ikut! Biarlah mereka ada sijil ke, tak ada sijil ke. Kena dengar, kena patuh. Penting!"

Tini berlalu pergi dengan derapan kaki kuat lengkap bermuka rusuh. Ingin saja dia memandang langit bersisik awan sambil menjerit sekuat, sepenuh hati.

***

Sampai di rumah dia terus berbaring atas katilnya. Membuka ruang untuk muzik rawak memenuhi ruang rumah via tabletnya.

"Entah sial apa jadi..." Luahnya. Langit senja memerah kelihatan dari luar tingkap dirasakan sayu. Alunan muzik dari tabletnya dirasakan sayup.

Telinganya tertangkap lagu nyanyian Eagles, Hotel California.

Last thing I remember, I was

Running for the door

I had to find the passage back

To the place I was before

"Relax, " said the night man

"We are programmed to receive

You can check-out any time you like

But you can never leave!

Image from: Hotel Kalifornia | cerpen
Nakal-Nakal, kumpulan cerita pendek Amier Suhaimi. Kredit Imej: Buku Liar

Nota: ‘Hotel Kalifornia’ adalah antara cerpen yang terselit dalam buku Kumpulan Cerpen Nakal-Nakal terbitan Bukuliar.

Amier Suhaimi seorang pengarang Malaysia lahir di Kuala Lumpur. Kumpulan cerpen ‘Nakal-Nakal’ adalah buku pertamanya bawah penerbit BukuLiar. Dia ada di Instagram dan X dengan nama @amiersuhaimi