Houthi dakwa Arab Saudi lancar 40 serangan udara di Yemen dalam tempoh 24 jam

WorldPolitics
17 Sep 2026 • 10:46 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Houthi dakwa Arab Saudi lancar 40 serangan udara di Yemen dalam tempoh 24 jam

SANAA: Kumpulan Houthi mendakwa pesawat pejuang Arab Saudi melancarkan 40 serangan udara dalam tempoh 24 jam lalu, menyasarkan kawasan di barat Yemen selepas kumpulan yang disokong Iran itu mencatat kemaraan besar di sepanjang pantai Laut Merah dan didakwa melancarkan dron menyasarkan Mekah.

“Pesawat perang Arab Saudi melancarkan 40 serangan udara menggunakan pesawat F-15 yang berlepas dari Pangkalan Udara Khamis Mushait, menyasarkan wilayah Taiz, Marib dan Hodeidah dalam tempoh 24 jam lalu,” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree dalam kenyataan di media sosial.

Pasukan kerajaan Yemen turut bertempur dengan pejuang Houthi berhampiran sempadan Arab Saudi, dengan rakaman AFP menunjukkan anggota tentera menaiki kenderaan berperisai dan trak mara merentasi kawasan padang pasir diiringi bunyi tembakan mesingan.

Rakaman itu menunjukkan askar melepaskan tembakan menggunakan mesingan berat, meriam dan pelancar roket RPG ke arah sasaran dari jauh serta mayat pejuang Houthi dan kubu pertahanan yang menurut pasukan kerajaan telah ditinggalkan kumpulan itu ketika berundur.

Dua sumber tentera kerajaan kemudian memberitahu AFP, pasukan kerajaan menguasai bahagian rendah kem Al-Labanat yang terletak di kawasan berbukit, namun menghadapi kesukaran untuk menawan keseluruhan kem kerana pejuang Houthi menguasai kawasan lebih tinggi.

Usaha menawan kem itu akan menjadi kejayaan strategik bagi pasukan kerajaan Yemen kerana ia membuka laluan ke Al-Hazm, ibu kota wilayah Al-Jawf, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari situ.

Sementara itu, Houthi turut mengeluarkan rakaman pertempuran di kawasan Al-Jawf di barat laut Yemen, selain video yang didakwa menunjukkan sebuah jet pejuang milik Arab Saudi ditembak jatuh.

Kumpulan itu kebelakangan ini mencatat beberapa kemaraan besar dalam serangan pantas, yang gagal dipatahkan menerusi serangan udara Saudi, sekali gus menyebabkan kerajaan Yemen berusaha meningkatkan tindak balasnya.

Perang saudara Yemen kembali tercetus pada Julai selepas sebahagian besarnya tidak aktif sejak 2022, dengan Houthi mencatat kemaraan pantas dan menguasai keseluruhan pantai Laut Merah negara itu serta beberapa pulau strategik di Selat Bab al-Mandab di hujung selatan laut berkenaan.

Houthi sejak sekian lama menguasai sebahagian besar kawasan utara Yemen, termasuk ibu negara Sanaa.

Dalam satu lagi rakaman yang dikeluarkan kumpulan itu, pejuang Houthi dilihat bergerak merentasi kawasan padang pasir menggunakan trak pikap, dengan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan yang sedang mara.

Rakaman berasingan yang dikeluarkan kumpulan itu turut memaparkan imej penglihatan malam yang kelihatan menunjukkan sebuah objek menghentam jet pejuang.

Beberapa adegan lain menunjukkan serpihan pesawat yang terhempas, dengan bahagian sirip ekornya yang hangus masih mempunyai bendera Arab Saudi.

Houthis pada Rabu mendakwa mereka menembak jatuh jet pejuang Saudi menggunakan peluru berpandu buatan tempatan.-AFP

The post Houthi dakwa Arab Saudi lancar 40 serangan udara di Yemen dalam tempoh 24 jam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved