Houthi Dakwa Lancar Serangan Peluru Berpandu Ke Israel, Pertama Sejak Konflik Terkini

WorldPolitics
29 Mar 2026 • 12:10 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

JERUSALEM – Kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran mendakwa telah melancarkan serangan pertama ke atas Israel sejak konflik di Timur Tengah memuncak kira-kira sebulan lalu, lapor AFP.

Dakwaan itu timbul selepas pihak Israel memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya sedang beroperasi bagi memintas satu ancaman peluru berpandu yang dikesan dilancarkan dari arah Yaman.

Menurut jurucakap Houthi, Yahya Saree, dalam satu kenyataan video di platform X, kumpulan itu melancarkan peluru berpandu balistik menyasarkan tapak ketenteraan Israel sebagai tanda campur tangan dalam konflik serantau.

“Jari kami berada pada pemicu, bersedia untuk campur tangan ketenteraan secara langsung,” tegasnya.

Israel Aktifkan Sistem Pertahanan

Dalam kenyataan rasmi, Israel mengesahkan pihaknya mengesan pelancaran peluru berpandu menuju wilayahnya dan segera mengaktifkan sistem pertahanan udara untuk memintas ancaman tersebut.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan, manakala media tempatan memetik bahawa peluru berpandu itu berkemungkinan berjaya dipintas sepenuhnya.

Amaran Perluasan Konflik

Sebelum ini, Houthi memberi amaran akan menyertai konflik secara langsung sekiranya Iran terus diserang atau lebih banyak negara terlibat dalam peperangan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel.

Kumpulan itu juga menegaskan mereka bersedia bertindak balas sekiranya Laluan Laut Merah digunakan untuk operasi ketenteraan yang dianggap bermusuhan.

Sepanjang perang Gaza sebelum ini, Houthi pernah melancarkan serangan ke atas kapal-kapal di Laut Merah dan Teluk Aden sebagai tanda solidariti terhadap Palestin, namun dalam konflik terbaru ini mereka dilihat lebih berhati-hati sehingga kini.

Laluan Strategik Jadi Tumpuan

Perkembangan terbaharu ini berlaku ketika Laluan Laut Merah semakin menjadi fokus utama dalam konflik serantau, khususnya selepas Arab Saudi mengalihkan sebahagian besar eksport minyaknya ke pelabuhan Yanbu.

Situasi itu susulan tindakan Iran yang hampir menutup sepenuhnya Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan laluan utama perdagangan minyak global.

Ketegangan berterusan ini dilihat berpotensi memperluas konflik di Timur Tengah, dengan lebih banyak pihak mungkin terheret ke dalam kancah peperangan sekiranya situasi terus memuncak. – The Malaysian Update

The post Houthi Dakwa Lancar Serangan Peluru Berpandu Ke Israel, Pertama Sejak Konflik Terkini appeared first on The Malaysian Update.