
RIYADH – Pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yemen menyatakan bahawa mereka telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu balistik ke atas ibu negara Arab Saudi, serta kawasan tenaga di pesisir Laut Merah negara tersebut, lapor stesen penyiaran BBC.
Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan bahawa mereka telah memintas dan memusnahkan sebutir peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Riyadh semalam, tanpa mengesahkan sebarang serangan lanjut atau kemalangan jiwa.
Sebelum itu, kepulan asap hitam kelihatan menjulang dari tangki bahan api berhampiran lapangan terbang antarabangsa ibu negara Arab Saudi itu, di mana penerbangan terganggu secara sementara semalam.
Amaran serangan udara telah dibunyikan di ibu negara tersebut buat kali pertama sejak kumpulan Houthi yang disokong Iran meningkatkan serangan mereka ke atas Arab Saudi pada bulan Julai.
Jabatan Negara Amerika Syarikat menggesa rakyat Amerika di Asia Barat untuk ‘mengamalkan kewaspadaan dan bersiap sedia untuk berdepan potensi pembatalan penerbangan serta gangguan perjalanan yang lain’.
“Kumpulan Houthi yang disokong Iran telah terlibat dalam permusuhan menentang Arab Saudi, termasuk lapangan terbang awam. Konflik ketenteraan ini berpotensi untuk merebak dengan cepat,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan. – AGENSI
The post Houthi lancar serangan dron ke Riyadh appeared first on Kosmo Online.
