HOYA Tutup Kempen ‘A Million Visions’ Dengan Kajian Tentang Kanta DIMS Untuk Kawal Miopia Kanak-Kanak

LocalHealth & Fitness
19 Nov 2025 • 9:53 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

HOYA Malaysia hari ini (19 November) dengan jayanya telah menutup kempen “A Million Visions”, bukti komitmen jangka panjang mereka untuk melindungi penglihatan generasi masa depan Malaysia.

Kempen selama seminggu bersempena dengan Hari Penglihatan Sedunia 2025 (World Sight Day) ini menawarkan pemeriksaan mata percuma untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun di lebih 800 Kedai Pakar Penjagaan Mata Optikal di seluruh negara.

Berbekalkan keyakinan bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat penglihatan yang jelas dan sihat, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai peningkatan kadar miopia dalam kalangan kanak-kanak serta kepentingan membuat pengesanan awal.

Miopia adalah rabun jauh

Secara amnya, miopia adalah keadaan mata seseorang yang dapat melihat objek dekat dengan jelas namun agak kabur bagi objek yang jauh. Jika diringkaskan ia adalah rabun jauh.

Melalui inisiatif ini, HOYA Malaysia memperkasa ibu bapa untuk mengambil langkah pertama dalam melindungi penglihatan anak mereka dengan menjadikan pemeriksaan kesihatan mata profesional lebih mudah diakses, mampu milik dan meluas.

“Selama lebih 30 tahun, Hoya komited membantu rakyat Malaysia melihat dengan jelas. Penglihatan bukan sekadar penglihatan fizikal; ia berkaitan peluang, pendidikan dan kualiti hidup. Setiap kanak-kanak berhak melihat dunia dengan jelas,” kata Lew Chee Quin, Pengarah Urusan HOYA Malaysia.

“Melalui kempen ‘A Million Visions’, kami berusaha mempromosikan pemeriksaan mata awal dan meningkatkan kesedaran di seluruh negara. Apabila kita sedar dan mengambil langkah awal bersama, kita bukan sahaja melindungi penglihatan mereka, tetapi juga masa depan mereka.”

Yang menariknya, sebagai penutup kempen, HOYA Malaysia telah mengetengahkan penerbitan satu kajian klinikal bertajuk “Effectiveness of DIMS Lens in Slowing Myopia Progression among Malay Schoolchildren”, yang dijalankan oleh penyelidik dari Program Optometri dan Sains Penglihatan, Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

HOYA turut mengadakan sesi bersama media bagi berkongsi dapatan kajian kertas putih ini di Sekolah Sri UCSI Kuala Lumpur.

Panel bagi sesi berkenaan adalah Lew; wakil penyelidik, Dr Syarifah Faiza Syed Mohd Dardin yang juga Setiausaha Majlis Optik Malaysia serta Pengurus Hal Ehwal Professional HOYA Malaysia, Chong Ching Wei.

image is not available
Foto: Sofea/ BuzzKini

Kajian pertama di Malaysia dalam menilai keberkesanan DIMS di kalangan murid Melayu

Menurut HOYA Malaysia, penyelidikan ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dalam menilai keberkesanan teknologi Defocus Incorporated Multiple Segments (D.I.M.S.) di kalangan murid sekolah rendah berbangsa Melayu.

Selain Dr Syarifah Faiza penyelidik Prof Dr Bariah Mohd Ali, Dr Fatin Nur Najwa Norazman, Dr Mizhanim Mohamad Shahimin dan Mohd Norhafizun Mohd Saman.

Ia dijalankan secara prospective randomized controlled trial di Kuala Lumpur, melibatkan 42 murid sekolah rendah berusia 7 hingga 12 tahun selama 12 bulan.

Peserta secara rawak dibahagikan kepada dua kumpulan: satu memakai kanta MiYOSMART berteknologi D.I.M.S., manakala satu lagi memakai kanta penglihatan tunggal konvensional untuk penggunaan sepanjang hari.

Menurut Dr Syarifah, kajian tertumpu terhadap pelajar sekolah rendah berbangsa Melayu memandangkan kajian dan percubaan sebelum ini telah melibatkan responden dari kalangan kanak-kanak Kaukasia di Eropah dan Cina di Hong Kong.

image is not available
Foto: Sofea/ BuzzKini

Kanta MiYOSMART berkesan perlahankan kadar ‘rabun’ kanak-kanak – Kajian

Hasil kajian mendapati kanta MiYOSMART amat berkesan untuk kanak-kanak Malaysia. Selepas satu tahun, kanak-kanak yang memakai kanta D.I.M.S mencatat perubahan miopia sebanyak –0.16 D dan peningkatan panjang paksi mata (axial) sebanyak +0.07 mm — menunjukkan perkembangan miopia yang jauh lebih perlahan berbanding kanak-kanak yang memakai kanta penglihatan tunggal (kanta normal).

Ini bermakna kanta MiYOSMART berjaya memperlahankan perkembangan tahap rabun jauh seorang kanak-kanak.

image is not available
Foto: Kertas Putih Kajian

Secara keseluruhan, kajian menunjukkan purata pengurangan 65% dalam perkembangan miopia. Kanta tersebut juga memberikan penglihatan yang jelas dan stabil, dengan kanak-kanak menyesuaikan diri dengan selesa untuk pemakaian sepanjang hari kira-kira 16 jam.

Kajian di Malaysia ini memberikan pengesahan tempatan yang penting, sekali gus mengukuhkan keberkesanan pendekatan ini untuk kanak-kanak Malaysia.

Sebagai info, kanta MiYOSMART yang menggunakan teknologi D.I.M.S dan dibangunkan hasil kerjasama dengan The Hong Kong Polytechnic University turut disokong oleh penyelidikan antarabangsa termasuk di Eropah dan Hong Kong.

“Bersama rakan optik kami, HOYA Malaysia terus komited memastikan kanak-kanak menerima saringan penglihatan awal dan tepat. Menerusi kempen ‘A Million Visions’, kami memperkukuh usaha untuk mendekati sekolah dan komuniti di seluruh negara, menawarkan kepakaran kami untuk menyokong pengesanan awal dan pencegahan miopia secara proaktif,” tambah Lew.

View Original Article