HQE II catat sejarah prosedur jantung pertama

LocalHealth & Fitness
9 Oct 2026 • 5:22 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

HQE II catat sejarah prosedur jantung pertama

Kota Kinabalu: Pusat Rawatan Jantung Sabah, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) mencatat sejarah baru-baru ini selepas berjaya melaksanakan prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar jenis Aveir VR, yang pertama seumpamanya di Malaysia Timur.

HQE II dalam hantaran pada Rabu memaklumkan kejayaan itu dicapai pada 10 Sept oleh pasukan Jabatan Kardiologi HQE II, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam bidang kardiologi berteknologi tinggi di Sabah.

Menurut hospital itu, HQE II turut diiktiraf sebagai antara tiga pusat bertauliah di Malaysia yang mempunyai pakar perubatan sah untuk menjalankan prosedur kardiologi berteknologi tinggi berkenaan.

Prosedur itu diketuai Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Datuk Dr Liew Houng Bang, bersama Pakar Kardiologi, Dr Foo Jhi Hui, dengan sokongan seluruh warga Jabatan Kardiologi HQE II.

Turut memberi bimbingan dan khidmat nasihat sebagai proktor sepanjang prosedur ialah Pakar Perunding Kanan Kardiologi dan Elektrofisiologi, Dr Saravanan Krishinan.

Perentak jantung Aveir VR keluaran Abbott merupakan peranti bersaiz kecil yang direka untuk memberikan rangsangan elektrik kepada jantung tanpa memerlukan wayar transvena seperti sistem perentak jantung konvensional.

Peranti itu dimasukkan terus ke dalam jantung melalui prosedur invasif minimum dan tidak memerlukan pembedahan atau insisi pada bahagian dada pesakit.

Teknologi berkenaan turut menawarkan beberapa kelebihan, termasuk saiz peranti yang lebih kecil, jangka hayat bateri serta potensi mengurangkan beberapa komplikasi berkaitan sistem perentak jantung konvensional yang menggunakan wayar.

Kejayaan prosedur berkenaan dicapai hasil kolaborasi antara Pusat Rawatan Jantung Sabah dan pasukan Abbott Cardiac Rhythm Management.

Pencapaian itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan HQE II dalam bidang elektrofisiologi dan kardiologi berteknologi tinggi, malah membuka ruang kepada penggunaan teknologi perubatan invasif minimum yang lebih maju di Sabah dan rantau Borneo.

Ia sekali gus memberi pilihan rawatan lebih moden kepada pesakit yang memerlukan perentak jantung, selain berpotensi mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan sedemikian di luar Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved