HRD Corp lancar inisiatif 'Professional Advancement in Trucking and Haulage' di Pulau Pinang perkasa tenaga kerja logistik Malaysia

30/09/2025 - 11:07
Antara peserta program yang terlibat Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 30 Sept – Inisiatif Professional Advancement in Trucking and Haulage (PATH) yang dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang pada 20 September lalu adalah satu langkah penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan memperkukuh tenaga logistik negara.
PATH ialah satu inisiatif program latihan strategik dalam sektor logistik yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT).
Dengan peruntukan RM2.5 juta daripada HRD Corp, program itu memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan pensijilan profesional pemandu lori serta pekerja logistik, termasuk lesen memandu komersial, latihan pemanduan defensif lanjutan, keselamatan dan pematuhan.
HRD Corp dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu bertujuan menangani kekurangan pemandu berkemahiran di Malaysia.
“Malaysia kini berdepan kekurangan lebih 4,000 pemandu lori berlesen sedangkan terdapat lebih 16,000 'prime mover' berdaftar di seluruh negara.
“Kekurangan ini menjejaskan kecekapan, melambatkan rantaian bekalan dan meningkatkan kos operasi pelbagai industri,” menurut kenyataan itu.


Inisiatif PATH menyasarkan untuk melatih 1,000 peserta termasuk pekerja industri logistik sedia ada dan rakyat Malaysia yang menganggur sebagai sebahagian daripada program perintis yang dilaksanakan di pelabuhan utama di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Pahang.
HRD Corp berkata, inisiatif ini memberi tumpuan kepada penganugerahan pensijilan peningkatan kemahiran yang diiktiraf industri, termasuk lesen memandu komersial (Lesen E dan GDL E Bersendi), kemahiran pemanduan defensif lanjutan, serta latihan keselamatan dan pematuhan.
“Ini bukan sahaja akan meningkatkan kebolehpasaran dan potensi pendapatan mereka tetapi mempertingkatkan juga keselamatan jalan raya di seluruh negara melalui amalan pemanduan berhemah,” katanya.
Majlis pelancaran yang diadakan di Ibu Pejabat Pelabuhan Pulau Pinang di Butterworth, Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.


Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Seri Chan Kong Yew; Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan serta para pemimpin sektor logistik Malaysia, pemain industri dan pihak berkepentingan.
Sehingga 15 September 2025, sebanyak RM1.26 juta telah pun diluluskan dengan sesi latihan sedang giat dijalankan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor, manakala Pahang dijadualkan bermula tidak lama lagi.
Inisiatif PATH mula diperkenalkan pada tahun 2024 di Pelabuhan Klang, di mana seramai 200 pemandu berjaya memperoleh lesen dan pensijilan mereka.

HRD Corp berkata, selain latihan, PATH juga dijangka dapat mengurangkan jurang kekurangan pemandu di seluruh negara, meningkatkan kecekapan dan daya saing sektor logistik Malaysia, memperkukuh keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan di samping mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif PATH, sila layari: https://hrdcorp.gov.my/path. - DagangNews.com
standard
