HRD Corp lancar Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ di Johor mudahkan akses maklumat kemahiran, peluang jana ekonomi kepada rakyat

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 10:07 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HRD Corp lancar Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ di Johor mudahkan akses maklumat kemahiran, peluang jana ekonomi kepada rakyat Image from: HRD Corp lancar Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ di Johor mudahkan akses maklumat kemahiran, peluang jana ekonomi kepada rakyat liza22/06/2026 - 10:07 Pemilihan Johor sebagai lokasi permulaan siri jelajah itu bertepatan dengan kedudukannya sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dengan pelbagai pelaburan strategik yang sedang berkembang termasuk menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Jun – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melancarkan Siri Jelajah 'Pocket Talk' HRD Corp – Dari Dasar ke Rakyat di Kempas, Johor bagi menerangkan pelbagai inisiatif pembangunan modal insan secara terus kepada masyarakat.

 

Program itu bertujuan memastikan rakyat mendapat akses lebih mudah kepada maklumat berkaitan peningkatan kemahiran dan peluang menjana ekonomi yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

 

Siri jelajah berkenaan menghimpunkan pelbagai sesi perkongsian merangkumi pengenalan kepada produk dan perkhidmatan HRD Corp, pembangunan kepimpinan, pemerkasaan individu serta persediaan mendepani cabaran pekerjaan masa hadapan menerusi pembelajaran dan peningkatan kemahiran.

 

Pemilihan Johor sebagai lokasi permulaan siri jelajah itu bertepatan dengan kedudukannya sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dengan pelbagai pelaburan strategik yang sedang berkembang termasuk menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Menurut HRD Corp, perkembangan tersebut menjadikan pembangunan modal insan sebagai elemen penting bagi memastikan rakyat tempatan bersedia merebut peluang ekonomi dan pekerjaan yang diwujudkan.

 

t
Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan menyampaikan ucapan sempena Siri Jelajah 'Pocket Talk' HRD Corp – Dari Dasar ke Rakyat di Kempas, Johor

 

Sejajar dengan aspirasi itu, HRD Corp turut memperkukuh pembangunan bakat di negeri berkenaan menerusi inisiatif Skills4Johor yang dilancarkan bersama Unit Modal Insan Strategik Johor pada 2025 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja.

 

Komitmen itu diterjemahkan menerusi impak ketara di Johor apabila seramai 13,425 majikan telah berdaftar di bawah ekosistem HRD Corp, melibatkan 479,905 pekerja yang menerima manfaat secara langsung.

 

Pada 2025, HRD Corp merekodkan kutipan levi sebanyak RM208.21 juta dengan RM183.96 juta disalurkan semula kepada majikan melalui tuntutan latihan, selain bantuan kewangan berjumlah RM191.50 juta yang membolehkan 232,072 rakyat di Johor menerima latihan.

 

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang merasmikan program tersebut berkata ukuran sebenar kejayaan sesuatu dasar bukan terletak pada jumlah dasar yang diumumkan, sebaliknya sejauh mana rakyat mengetahui, memahami dan memperoleh manfaat daripadanya.

 

Beliau berkata, menerusi Siri Jelajah 'Pocket Talk' itu, kerajaan mahu memastikan setiap peluang yang disediakan sampai terus kepada rakyat agar mereka lebih bersedia meningkatkan kemahiran, memperkukuh daya saing dan membina masa depan yang lebih baik untuk diri serta keluarga.

 

t
Datuk Shamir Aziz

 

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan HRD Corp dalam memastikan maklumat mengenai pembangunan modal insan dapat diakses oleh segenap lapisan masyarakat.

 

Menurutnya, dasar yang baik perlu sampai kepada rakyat dan justeru, siri jelajah itu diwujudkan bagi memastikan maklumat mengenai latihan, kemahiran dan peluang yang disediakan kerajaan dapat diakses oleh semua, termasuk pekerja, belia, pencari kerja dan usahawan kecil yang ingin meningkatkan taraf hidup melalui ilmu dan kemahiran.

 

“Siri jelajah yang bermula di Johor itu akan diteruskan ke beberapa lokasi lain di seluruh negara sebagai platform berterusan untuk memperkukuh pemahaman rakyat terhadap inisiatif pembangunan modal insan kerajaan serta memperluas kesedaran mengenai kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran dan pembangunan tenaga kerja yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard