
Pancaran lampu hijau di perkarangan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II akan terus dinyalakan selama seminggu sebagai simbolik kejayaan pendermaan organ dan tisu daripada seorang penderma di Kelantan.
Menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi, HRPZ II memaklumkan bahawa dua buah pinggang daripada penderma berkenaan berjaya ditransplantasikan kepada dua pesakit yang memerlukan di hospital penerima.
HRPZ II Pancar Lampu Hijau Selama Seminggu

Sementara itu, proses transplantasi kornea turut dijadualkan berlangsung pada minggu ini, melibatkan seorang pesakit dari HRPZ II.
Menurut pihak hospital, pendermaan organ bukan sekadar satu sumbangan, sebaliknya mampu memberikan peluang baharu kepada individu yang sedang menantikan harapan untuk meneruskan kehidupan.
"Di sebalik kehilangan insan tersayang, tersimpan sebuah harapan baharu buat mereka yang sedang menantikan peluang untuk meneruskan kehidupan.
"Keputusan untuk mendermakan organ merupakan satu pengorbanan yang amat bermakna.
Baca juga:
Hasrat Terakhir Pesara MPOB Derma Organ Ditunaikan, Petugas Hospital Putrajaya Beri Penghormatan
HPUSM Kembali Diterangi Lampu Hijau, "Walk Of Honour" Untuk Muhammad Aidil Undang Sebak
"Ia bukan sahaja berpotensi menyelamatkan nyawa, malah mampu memberikan sinar harapan dan mengubah kehidupan insan lain," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, HRPZ II turut merakamkan penghargaan kepada penderma dan keluarganya atas keprihatinan serta keputusan murni untuk mendermakan organ dan tisu.
Pihak hospital berharap sumbangan tersebut dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk memahami kepentingan pendermaan organ serta menyokong usaha berkenaan.




