HSBC Amanah lancar rumusan pembiayaan perdagangan digital patuh syariah, TradePay-i

23/06/2025 - 11:26
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Shah (kanan) dan Ketua Rumusan Perdagangan Global HSBC Malaysia, Shreyas Krishna. Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 23 Jun - HSBC Amanah memperkenalkan HSBC TradePay-i, satu rumusan pembiayaan perdagangan digital patuh Syariah di Malaysia bagi membantu perniagaan mendapatkan pembiayaan dagangan dengan cepat dan membuat bayaran kepada pembekal dengan lebih mudah.
Inisiatif itu juga meningkatkan fleksibiliti dan aliran tunai syarikat dalam menghadapi cabaran persekitaran perdagangan semasa.
Kebiasaannya, syarikat yang memohon pembiayaan jangka pendek bagi tujuan modal kerja perlu melalui proses yang rumit dan mengambil masa, termasuk penyediaan dokumen dan permohonan dana.
Namun, dengan TradePay-i, proses tersebut dipermudah melalui sistem muat naik fail pembayaran dan bayaran terus kepada pembekal.
Pendekatan berkenaan menjimatkan masa dan tenaga, membolehkan perniagaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan mengurangkan beban kerja pentadbiran.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Shah berkata, dalam keadaan ketidaktentuan tarif dan perdagangan global yang memberi kesan kepada kos dan rantaian bekalan, banyak perniagaan kini memerlukan rumusan kewangan yang pantas dan fleksibel.
"HSBC TradePay-i menawarkan kemudahan yang membantu syarikat menghadapi cabaran ini sambil memperbaiki aliran perdagangan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rumusan itu juga selari dengan permintaan yang semakin meningkat di Malaysia terhadap pembiayaan yang beretika, telus dan bebas faedah, serta menunjukkan komitmen HSBC untuk menyediakan pembiayaan Islam yang sesuai dengan perubahan dalam dunia perdagangan dan keperluan pelanggan.
Ketua Rumusan Perdagangan Global HSBC Malaysia, Shreyas Krishna pula berkata, dalam era pendigitalan mengubah landskap perdagangan, HSBC TradePay-i bukan sekadar satu produk, ia adalah pemangkin bagi pertumbuhan, kepantasan dan kelebihan strategik.
"Syarikat boleh menggunakan TradePay-i untuk menjalankan urus niaga dengan lebih cekap dan yakin, walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.
"Ketika rantaian bekalan menjadi semakin rumit, pendekatan HSBC yang memberi nasihat membantu pelanggan mengatasi cabaran dan mencapai keputusan perniagaan yang lebih baik," jelasnya.
Tambah beliau, TradePay-i juga direka untuk meningkatkan kecekapan aliran tunai dan mengukuhkan hubungan perniagaan antara syarikat dan pembekal.
HSBC TradePay-i boleh diakses melalui platform digital HSBCNet, yang direka khas untuk pelanggan korporat HSBC.
Ia membolehkan proses permohonan dana dilakukan dengan lebih mudah dan cepat.
Pembiayaan boleh dikeluarkan dengan mudah melalui muat naik fail pembayaran dan bayaran akan terus diterima oleh pembekal.
Antara manfaat utama yang ditawarkan TradePay-i termasuk:
• Lebih masa untuk berkembang
Proses digital yang ringkas menggantikan urusan dokumen yang rumit, membolehkan syarikat fokus kepada strategi dan pertumbuhan perniagaan.
• Hubungan pelanggan lebih kukuh
Membantu mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dengan memastikan pembayaran kepada pembekal berjalan lancar.
• Kos pembiayaan lebih terkawal
Pembiayaan 'just-in-time' membolehkan syarikat membayar jumlah sebenar yang diperlukan, tanpa terlebih anggar.
• Urus niaga lebih yakin
Pembayaran dijamin selamat dengan sokongan kepakaran digital bank, memberi keyakinan dalam setiap transaksi. - DagangNews.com
standard
