HSS Engineers raih kontrak pengurusan pembinaan pusat data bernilai RM10.3 juta di Johor
herman
12/08/2024 - 14:32
KUALA LUMPUR 12 Ogos - HSS Engineers Berhad (HEB) menerusi syarikat bersekutunya, HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI) menerima projek berkaitan perkhidmatan pembinaan sebuah pusat data di Senak Tech Park, Kulai bernilai RM10.28 juta.
Menurut HSS Engineers, HSSI menerima surat arahan (LOI) daripada Yellowwood Properties Sdn. Bhd. (YPSB) pada 12 Ogos 2024.
"Surat berkenaan bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan projek pembinaan kepada YPSB untuk sebuah pusat data yang terletak di Jalan Digital II, Sedenak Tech Park, Kulai.
"Surat dikeluarkan sejajar dengan Perjanjian Rangka Kerja mengenai Perkhidmatan Perundingan yang dimeterai antara YPSB dan HSSI pada 12 Januari 2023," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
HSS Engineers berkata, tempoh pelaksanaan projek ini bermula 1 Ogos 2024 untuk tempoh selama 22 bulan.
"Skop perkhidmatan HSSI merangkumi semua fasa projek termasuk, tetapi tidak terhad kepada, kawalan & pelaporan projek, perancangan, pengurusan pembinaan, dan pengurusan kesihatan & keselamatan.
"Menurut perjanjian kerjasama eksklusif antara HSSI dan HSS Engineering Sdn. Bhd. (HSSE), sebuah anak syarikat milik penuh HEB, HSSI dan HSSE akan bekerjasama secara eksklusif untuk melaksanakan dan menyelesaikan Perkhidmatan ini," jelasnya.
Ujarnya, perkhidmatan ini dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih Kumpulan HEB untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 hingga 31 Disember 2026.- DagangNews.com

